Khamal Idris Ali
Khamal Idris Ali
Izzali Ismail


BERGANDING bahu dan bekerja sebagai satu pasukan dalam pentadbiran baharu menjadi harapan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dalam usaha memacu skuad Lang Merah untuk mencapai kejayaan.

Naib Presiden KFA dan juga bekas pemain Kedah, Khamal Idris Ali yakin gabungan terbaik dengan kemasukan Presiden baharu Muhammad Sanusi Md Nor yang mesra dan mudah didekati bersama legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din sebagai Naib Presiden KFA mampu memperkasakan lagi pentadbiran sedia ada.

"Saya yakin pentadbiran baharu akan ditadbir dengan lebih telus, terbuka dan mungkin lebih banyak yang kita sama-sama salurkan kepada pasukan berbanding sebelum ini.

"Insya Allah kami selaku Naib Presiden akan bekerja bersama sebagai satu kumpulan dan kita mahukan perancangan secara bersama dan bukan keputusan secara individu.

"Meskipun saya dan Radhi merupakan bekas pemain dan telah bertukar bidang kerjaya sebagai Naib Presiden, namun pengalaman yang kami lalui bersama sebagai pemain dalam pasukan satu masa dulu tetap akan kami taburkan membantu Presiden untuk kebaikan serta hala tuju pengurusan KFA dan pasukan.

"Ilmu yang ada ini juga merupakan sesuatu yang berharga yang juga mungkin boleh kita kongsikan kepada pemain supaya mereka dan boleh merencanakan hidup sebagai pemain bola sepak yang berjaya" katanya.

Khamal yang juga merupakan Presiden Persatuan Bekas Pemain Kedah (KEFA) bagaimanapun berharap segala permasalahan termasuk tunggakan gaji akan segera diatasi selepas KFA mengadakan mesyuarat pertamanya bersama Presiden dalam tempoh terdekat.

"Kita akan bincangkan berbagai isu yang dihadapi KFA termasuk tunggakan gaji pemain dan hal kewangan.

"Dalam masa yang sama kita juga berdoa dan mengharapkan komitmen berterusan daripada semua pemain, jurulatih, staf dan juga penyokong untuk memastikan segala usaha yang akan kita rancangkan dapat berjalan dengan lancar.

"Pihak pengurusan KFA juga sedang bekerja keras bagi memastikan persiapan skuad Lang Merah yang sedang mempersiapkan diri menghadapi perlawanan Liga Malaysia (Liga M) yang akan bersambung Ogos ini dapat berjalan dengan lancar". katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 2:00 PM