RONALDO nadi kecemerlangan Juventus. FOTO Agensi
RONALDO nadi kecemerlangan Juventus. FOTO Agensi
Agensi

UMUR tampak kurang memberi kesan kepada Cristiano Ronaldo yang pada usia 35 tahun masih mampu menikmati musim terbaiknya sejak kempen 2015/16.

Setakat ini pada 2020, hanya Robert Lewandowski (21) meledak lebih banyak gol berbanding Ronaldo (20) dengan superstar Portugal itu memulakan kempen dengan menjaringkan gol dalam 11 perlawanan Serie A berturut-turut, catatan yang dikongsi bersama Fabio Quagliarella (2018/19) dan Gabriel Batistuta (1993/94).

Ronaldo meledak tujuh kali untuk Juventus dalam lapan perlawanan selepas Serie A bersambung dan menjaringkan gol dalam enam aksi liga berturut-turut. Jaringan terkininya menerusi dua penalti ketika seri 2-2 menentang Atalanta sekali gus kurang satu gol di belakang pendahulu penjaring terbanyak, Ciro Immobile (29).

Bekas bintang Real Madrid itu turut mengintai Kasut Emas Eropah kelimanya dengan masih ada enam perlawanan lagi untuk menyamai atau memintas catatan Lewandowski dengan 34 jaringan.

Cristiano hanya tiba di Turin pada 2018 tetapi 60 jaringan dalam 83 perlawanan meletakkannya dalam senarai 25 penjaring terbanyak Juventus sepanjang zaman dan dia penjaring gol terbanyak dalam Serie A setakat ini dengan 49 keseluruhan: Immobile (44), Duvan Zapata (38) dan Quagliarella (35).

Dalam tiga musim terakhir dia menjaringkan 25 gol (2016/17), 26 (2017/18), 21 (2018/19) dan diperbaikinya musim ini dengan 28 jaringan.

Dengan Scudetto hampir pasti dalam genggaman Juventus, Ronaldo kini beralih arah untuk terus mencipta rekod dan tidak ramai yang meragui kemampuannya berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:06 PM