BAKRI mahu pemain bijak urus duit.
BAKRI mahu pemain bijak urus duit.
Firdaus Hashim


"KENA beringat sebelum terlambat. Buat simpanan dan jangan malukan imej bola sepak profesional".

Demikian nasihat legenda bola sepak negara, Bakri Ibni buat pemain bola sepak profesional tempatan supaya sentiasa beringat dan menjadikan kisah hidup beberapa tonggak terdahulu sebagai pedoman.

Katanya, kes bekas penyerang kebangsaan era milenium, Khalid Jamlus yang terpaksa melelong barangan peribadi termasuk Kasut Emas dimenanginya 18 tahun lalu serta jersi miliknya, poster dan medal dimenangi sepanjang kariernya.

Jelas Bakri, Khalid salah satu contoh pemain ternama ketika di zaman keemasannya yang terseksa ekoran kegagalan menguruskan kewangan dengan betul.

"Ini masalahnya bila pemain tak uruskan duit dengan baik. Jangka hayat sebagai pemain bola sepak tak lama, kalau terbabit dengan kecederaan mungkin akan menyebabkan seorang pemain itu menggantung but lebih awal.

"Sebab itu kena bijak uruskan kewangan supaya apabila dah tak bergelar pemain sudah ada simpanan yang mencukupi apabila bersara.

"Apa yang jadi kepada Khalid perlu diambil iktibar oleh pemain muda zaman sekarang. Terus terang saya malu bila jadi macam ini sebab ia menjatuhkan imej pemain bola sepak.

"Lepas ini mungkin tak ramai pemain muda nak main bola sepak sebab akan ada persepsi bahawa karier bola sepak ini tak jamin masa depan. Sedangkan ia (pengurusan kewangan) sebenarnya salah diri sendiri kerana tak beringat dari mula," katanya kepada Arena Metro.

Kisah sedih Khalid ini adalah antara puluhan 'sisi gelap' yang pernah dialami bekas pemain bola sepak negara sebelum ini.

Paling menyentuh perasaan sudah tentunya kisah kesempitan hidup dialami bekas tonggak negara era 90-an, Salahuddin Che Rose yang pernah hidup bergelandangan sekitar ibu kota selepas tidak berkerja ekoran menghidap penyakit jantung sejak 2009 menyebabkan dia tidak boleh melakukan pekerjaan berat.

Bagaimanapun, penderitaan Salahuddin itu berakhir dua tahun lalu selepas beberapa pihak termasuk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), bekas rakan sepasukan dan badan-badan NGO tampil membantu.

Menurut Bakri lagi, beliau mengingatkan pemain supaya merancang hala tuju selepas bersara dengan mengambil kursus-kursus bersesuaian untuk kelangsungan hidup.

"Kena ada perancangan sebelum nak bersara. Maksudnya kena rancang setahun atau dua tahun sebelum nak bersara nak buat apa.Kalau nak jadi jurulatih, ambil siap-siap lesen jurulatih. Kalau nak buat perniagaan pergi kursus dan lain-lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 10:45 PM