Tiger Woods. FOTO AFP
Tiger Woods. FOTO AFP
AFP

TIGER Woods mengakui kebimbangan terhadap penularan Covid-19 mendorong kepada penangguhan kemunculan semulanya pada Jelajah PGA ketika dia melakukan persediaan untuk beraksi di acara pertamanya sejak Februari iaitu Kejohanan Memorial di Ohio, minggu ini.

Bekas pemain nombor satu dunia tidak beraksi sejak tampil pada Jemputan Genesis di Los Angeles sekitar Februari tetapi akan melakukan tee off di Muirfield pada Khamis untuk memburu kejuaraan keenam dalam acara yang dianjurkan Jack Nicklaus.

Pemain berusia 44 tahun yang memenangi kejohanan utama sebanyak 15 kali itu berkata dia sudah memikirkan untuk kembali ke jelajah lebih awal tetapi mahu melihat bagaimana beberapa acara awal dijalankan selepas penangguhan akibat pandemik Covid-19 sebelum memutuskannya.

"Saya cuma rasakan adalah lebih baik kekal di rumah dan berada dalam keadaan selamat," kata Woods.

"Saya sudah terbiasa beraksi dengan ramai orang di sekeliling saya atau ramai orang memberi tumpuan kepada permainan saya dan ia bukan sahaja meletakkan saya dalam bahaya tetapi rakan-rakan dan keluarga saya juga.

"Disebabkan itu saya mengambil langkah hanya berada di rumah dan mematuhi penjarakan sosial serta mengelak daripada berada di tempat ramai orang.

"Kembali semula dan beraksi dalam jelajah, dalam kes saya lebih 20 tahun saya membabitkan diri dalam sukan ini, ia agak sukar untuk diperkatakan.

"Saya sudah terbiasa berada bersama ramai orang di sekeliling atau menyentuh saya, pergi dari lapangan ke tee.

"Saya amat memandang berat perkara ini malah tidak begitu selesa dengan kesemua idea sebelum kejohanan itu dimulakan."

Penganjur Memorial pada mulanya merancang untuk membenarkan penonton hadir di lapangan pada kejohanan minggu ini namun membatalkan cadangan itu ketika kes Covid-19 di sekitar Amerika Syarikat semakin melarat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:48 AM