X
Mayweather ketika menewaskan Tenshin Nasukawa pada 2018. FOTO Agensi
Mayweather ketika menewaskan Tenshin Nasukawa pada 2018. FOTO Agensi
Agensi

FLOYD Mayweather mengadakan perbincangan untuk kembali ke gelanggang semula di Jepun tetapi perancangannya mungkin tergendala kerana pandemik Covid-19.

Petinju berusia 43 tahun itu bersara secara rasmi daripada dunia tinju profesional pada 2017 selepas menewaskan bintang UFC, Conor McGregor.

Mayweather menamatkan cabaran McGregor pada pusingan ke-10 di Arena T-Mobile dekat Las Vegas, untuk melengkap rekod 50-0.

Kepulangannya ke gelanggang bagi perlawanan pertunjukan pada 31 Disember 2018 ketika berdepan atlet kickboxer featherweight Jepun, Tenshin Nasukawa pada acara tahunan RIZIN sempena sambutan Tahun Baharu.

Perlawanan berkenaan bertahan hanya dua minit ketika Mayweather menumbangkan petinju muda itu sebanyak tiga kali dalam usaha memungut taruhan sekitar £7 juta (RM37.54 juta).

Malah penganjur MMA bagi RIZIN percaya pasukannya sedang menjalankan rundingan untuk satu lagi pertarungan di Jepun.

Menerusi ciapan di Instagram baru-baru ini, Mayweather mendakwa dia berkunjung ke Tokyo untuk berbincang bersama rakan kongsinya dan RIZIN untuk mengadakan sesuatu tahun ini.

Dia memberitahu : "Tidak lama lagi saya akan terbang bersama jet peribadi ke Tokyo, Jepun untuk mengadakan mesyuarat bersama rakan kongsi dan Rizin untuk mengadakan sesuatu pada tahun 2020 ini."

Namun ketika sempadan antarabangsa Jepun masih ditutup, warga Amerika itu tidak dapat terbang ke ibu kota Jepun sekalipun bersama jet peribadinya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 12:08 PM