X
WINDSOR Paul tidak menolak kemungkinan Kejuaraan AFC B-19 ditunda. FOTO Owee Ah Chun
WINDSOR Paul tidak menolak kemungkinan Kejuaraan AFC B-19 ditunda. FOTO Owee Ah Chun
Firdaus Hashim


KEJUARAAN Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bawah 19 (B-19) yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 31 Oktober ini kemungkinan berdepan penundaan sekiranya situasi semasa di Uzbekistan masih tidak selamat ekoran penularan Covid-19 di negara itu.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Datuk Windsor Paul John berkata, pihaknya sentiasa memantau rapat perkembangan di Uzbekistan terutama selepas kerajaan negara berkenaan menguatkuasakan tempoh perintah berkurung ketika ini.

Ia susulan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di wilayah terbabit sejak awal bulan ini hingga memaksa pemerintah Uzbekistan memperkenalkan perintah berkurung terhadap rakyatnya bagi mengawal wabak berkenaan.

"Kami ada sehingga hujung tahun untuk mengadakan pertandingan dan kalau situasi tidak mengizinkan (pada Oktober), mungkin kami terpaksa menunda ke tarikh lain.

"Pertandingan itu tetap kena jalankan kerana ia juga adalah kelayakan Piala Dunia B-20 tahun depan. Jadi kita kena anjurkan pada tahun ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, kerajaan Uzbekistan menguatkuasakan tempoh perintah berkurung pada awal bulan ini dan beberapa hari lalu negara Asia Tengah itu melanjutkan perintah berkenaan susulan peningkatan pandemik Covid-19 yang masih belum menunjukkan tanda pengurangan.

Malah, tempoh perintah berkurung yang akan berakhir pada 1 Ogos ini dijangka akan dilanjutkan lagi jika kes terus meningkat ke tahap yang membimbangkan.

Ditanya adakah kemungkinan venue pertandingan akan diubah, Windsor menegaskan Uzbekistan tetap akan menjadi tuan rumah dan pihaknya tidak bercadang memindah lokasi.

"Tidak (pindah lokasi). Buat masa ini kita akan memantau sebelum membuat keputusan akhir berkaitan pertandingan. Cuma macam saya kata, kita ada masa selama setahun dan tarikh mungkin ditunda," katanya.

Di pusingan akhir itu nanti, skuad negara kendalian Brad Maloney diletakkan dalam Kumpulan D bersama Qatar, Tajikistan dan Yaman dengan sasaran mara ke separuh akhir sekali gus layak ke Piala Dunia B-20 di Indonesia tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:31 PM