HARITH Haikal terpilih barisi skuad Selangor. FOTO FB FAM
HARITH Haikal terpilih barisi skuad Selangor. FOTO FB FAM
Firdaus Hashim


IMPIAN untuk menyarung jersi skuad utama Selangor sejak kecil akhirnya menjadi kenyataan buat tonggak pertahanan berusia 18 tahun negara, Harith Haikal Adam Afkar apabila dia dinaikkan pangkat menyertai skuad utama Red Giants itu.

Harith yang lahir daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bersama-sama penyerang sensasi muda, Luqman Hakim Shamsudin diberikan peluang itu oleh pengendali Selangor, B Sathianathan.

Jelas tonggak pertahanan kelahiran Klang itu, dia amat terkejut apabila disenaraikan ke dalam skuad senior selepas mula menyertai pasukan Selangor II sejak awal musim ini.

"Saya terkejut dan tak sangka dapat bersama pasukan utama dalam waktu terdekat ini. Saya ingat mungkin tahun depan sebab saya pun masih muda lagi.

"Tapi jurulatih (Sathianathan) beri peluang dan saya memang terkejut. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh dan belajar daripada pemain senior bagi meningkatkan tahap permainan," katanya ketika dihubungi.

Ujarnya lagi, selepas mengharungi latihan selama empat minggu bersama skuad utama, banyak perkara baharu yang dipelajarinya terutama daripada dua tonggak pertahanan Red Giants iaitu ketua pasukan, Taylor Regan dan Nicholas Swirad.

"Pemain senior macam Regan banyak memberi nasihat kepada saya dalam latihan supaya jangan takut dan beri semangat kepada saya.

"Pemain lain juga banyak bagi tunjuk ajar bagaimana untuk menjadi pemain yang terbaik. Walaupun usia saya sangat muda, saya anggap ia bukan penghalang untuk merebut tempat," katanya yang juga tonggak utama skuad bawah 19 tahun negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 9:51 PM