SILVA (kanan) terus mempamerkan prestasi mantap pada aksi-aksi terakhirnya bersama City. FOTO AFP
SILVA (kanan) terus mempamerkan prestasi mantap pada aksi-aksi terakhirnya bersama City. FOTO AFP
AFP

PEP Guardiola mengakui bahawa beliau tidak mempunyai peluang untuk memujuk David Silva kekal di Manchester City selepas pemain tengah Sepanyol itu menjadi tunjang kemenangan 2-1 ke atas Bournemouth awal pagi tadi.

Silva membuka jaringan hasil sepakan percuma yang cantik dan merencanakan gerakan bagi membolehkan Gabriel Jesus menambah gol kedua, sebelum Bournemouth yang kurang tiga mata dari zon selamat memperoleh jaringan tunggal di minit akhir permainan melalui David Brooks.

Silva akan meninggalkan kelab berkenaan pada hujung musim ini dan pengurus City, baru-baru ini mencadangkan pemain berusia 34 tahun itu layak dibuat tugu bagi menghargai jasa selama 10 tahun di City.

"Dia sudah membuat keputusan untuk meninggalkan kelab, dia sudah berkata banyak kali. Saya rasa dia mahu mengakhiri perjalanan selepas 10 musim di sini.

"Dia sangat luar biasa sejak kami menyambung semula saingan selepas Covid-19.

"Sekali lagi dia beraksi dengan cemerlang dan menjaringkan gol. Dua kali berturut-turut dalam dua perlawanan," kata Guardiola.

Sementara itu, sembilan kali kekalahan di tempat lawan bermakna Bournemouth tidak mempunyai cara lain selain mengalahkan Southampton dan Everton bagi membolehkan mereka peluang kekal dalam saingan EPL selepas lima musim.

"Ia bukan mengenai prestasi pada saingan hujung musim kerana kami mahukan keputusan tapi kita tidak boleh menyalahkan pemain.

"Kami bermain pada waktu yang tepat dan bergabung baik. Saya berasa kecewa apabila pergi ke tempat lawan tanpa membawa pulang sebarang mata selepas melakukan segala dalam perlawanan," kata pengurus Bournemouth.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 8:33 AM