OLTMANS memberi bayangan Arul (gambar) akan menggantikan tempatnya. FOTO Owee Ah Chun
OLTMANS memberi bayangan Arul (gambar) akan menggantikan tempatnya. FOTO Owee Ah Chun
BERNAMA

KETUA jurulatih pasukan hoki lelaki kebangsaan, Roelant Oltmans dilihat seolah-olah sudah bersedia untuk menamatkan tugas kejurulatihannya di Malaysia selepas kontraknya tamat akhir tahun ini.

Ia selepas Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) melantik jurulatih skuad hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Arul Selvaraj sebagai ketua penolong jurulatih, yang berpotensi mengambil alih tugas Oltmans.

Ketika ditanya mengenai pelantikan Arul, jurulatih berusia 66 tahun dari Belanda itu merasakan MHC sudah merancang penggantinya.

"Ia adalah sesuatu yang baik jika sudah ada orang baharu akan datang...semua orang tahu pada akhir tahun ini, kontrak saya akan tamat. MHC telah merencanakan semuanya.

"Itulah situasinya, Arul menunjukkan prestasi yang baik membimbing UniKL sepanjang dua tahun lalu dan dia seorang yang berpengalaman di Malaysia. Itu adalah pilihan yang terbaik," kata bekas jurulatih yang membimbing skuad Belanda memenangi Piala Dunia 1998 dan Olimpik 1996 itu kepada pemberita semasa sesi latihan pasukan kebangsaan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, di sini, hari ini.

MHC pada Isnin lalu mengumumkan bahawa Arul akan berada dalam pasukan kejurulatihan Oltmans bermula 15 Ogos ini tetapi kedudukan beliau adalah selaku ketua kepada dua lagi penolong jurulatih iaitu Muhammad Amin Rahim dan jurulatih penjaga gol, Nasihin Nubli Ibrahim.

Arul, bekas pemain kebangsaan itu mempunyai pengalaman kejurulatihan di Malaysia, Afrika Selatan dan Ireland, selain UniKL, di mana beliau membantu pasukan universiti itu meraih treble Liga Hoki Malaysia pada Februari lalu dengan memenangi kejuaraan liga, Piala Sumbangsih dan Piala TNB.

Sementara itu, Oltmans yang sedang mempersiapkan pasukannya bagi menghadapi Piala Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November ini, berpuas hati melihat skuad Speedy Tigers dapat menyambung semula latihan kontak penuh bermula semalam.

"Ini akan membantu kita mencapai objektif tertentu yang ingin kita perbaiki dalam situasi permainan. Empat bulan tanpa latihan kompetitif adalah satu tempoh yang agak panjang," katanya, sambil menambah bahawa anak didiknya dijadualkan menjalani ujian kecergasan pada Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 9:22 PM