X
DE Paula ketika beraksi bersama Perak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DE Paula ketika beraksi bersama Perak. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syazwan Msar


Emiriah Arab Bersatu (UAE) sudah mulakan langkah menyenaraikan tiga penggempur naturalisasi menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 namun situasi berbeza kepada skuad Harimau Malaya apabila status penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula sehingga kini masih lagi samar.

Bermakna, skuad bimbangan Tan Cheng Hoe kemungkinan besar perlu menggunakan kekuatan penyerang sedia ada untuk merobek gawang UAE pada perlawanan yang dijangka berlangsung di Dubai, 8 Oktober depan.

Mengikut rekod sebelum ini, penyerang Perak terbabit sudah menghantar dokumen berkenaan sejak pertengahan tahun lalu dan sehingga kini masih menunggu maklum balas daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Malah, awal tahun ini, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi juga pernah menyatakan De Paula mempunyai peluang cerah beraksi sebagai peledak Harimau Malaya nanti.

"Pada ketika ini, kita masih lagi menunggu pengesahan atau jawapan bertulis daripada FIFA berkaitan status De Paula sama ada boleh beraksi atau sebaliknya namun tetap positif dia akan mendapat lampu hijau," katanya, di sini.

Namun, terbaharu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam mengesahkan dokumen pemain berkenaan masih lagi dalam proses dan belum lagi ada jawapan daripada FIFA.

"Masih lagi dalam proses, belum diketahui lagi status de Paula," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Melihat kepada situasi berkenaan, skuad Harimau Malaya sudah pasti perlu bekerja keras untuk mencipta gol terutama perlawanan terbabit berlangsung di halaman sendiri UAE.

Sebelum itu, UAE menyenaraikan tiga pemain naturalisasi iaitu Fabio Lima dan Caio Canedo yang berasal dari Brazil manakala Sebastian Tagliabue dari Argentina.

Menerusi rekod jaringan, Lima sudah merekodkan hampir 146 gol sejak 2014, Canedo 27 gol (2015-2020) dan Tagliabue sejumlah 146 gol (2010-kini) dengan kesemuanya adalah dalam liga UAE.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Julai 2020 @ 10:16 PM