Devan (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan. FOTO File NSTP
Devan (tengah) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan. FOTO File NSTP
Firdaus Hashim


KETUA jurulatih Petaling Jaya FC (PJ City FC), K Devan percaya akan kemampuan anak buahnya untuk bersedia sepenuhnya apabila bakal memulakan kembali saingan Liga Malaysia (Liga-M) lebih awal menerusi perlawanan tertunda menentang Terengganu FC yang akan berlangsung pada 22 Ogos ini.

Jelasnya, barisan kejurulatihan dan pemain sendiri sudah mengambil kira faktor ini kerana mereka masih ada perlawanan tertunda dan sudah bersedia untuk beraksi lebih awal berbanding pasukan lain yang akan memulakan perlawanan sebenar pada 26 Ogos.

Dengan perlawanan persahabatan juga hanya dibenar diadakan pada 2 Ogos, ia adalah satu tempoh yang mencukupi untuk anak buahnya melakukan persiapan rapi sebelum menentang skuad kendalian Nafuzi Zain itu.

"Pastinya kami sudah mengambil kira faktor ini daripada awal untuk melakukan persiapan terbaik daripada awal di mana pasukan semestinya harus bersedia daripada pelbagai aspek untuk menghadapi perlawanan pertama selepas lebih tiga bulan Liga M ditangguhkan.

"Daripada tahap kecergasan pemain, mereka berada dalam keadaan yang memuaskan dan tiada sebarang kecederaan serius yang melanda pemain saya.

"Cuma, hanya kesakitan di bahagian otot sahaja yang kadang-kadang dirasai oleh segelintir pemain kerana lama sangat mereka tidak berlatih sebegini, apatah lagi dengan corak latihan agak berbeza yang saya terapkan kali ini, tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan," jelasnya.

Dua hari selepas melakukan sesi latihan secara "body contact", Devan menyifatkan pemain-pemainnya tidak berdepan masalah untuk segera mendapatkan momentum perlawanan di atas padang apabila beliau menerapkan latihan secara simulasi perlawanan antara mereka.

"Saya tengok setakat ini corak permainan dan latihan yang kita sudah amalkan selepas mendapat lampu hijau berlatih secara "body contact" cukup menarik minat pemain dan mereka juga begitu menikmati latihan yang diadakan ini.

"Bahkan, mereka dapat bersaing sesama sendiri atas padang, bukan seperti sebelum ini apabila latihan hanya bersifat individu sahaja dan saya kena asingkan kepada kumpulan kerana mereka tidak dibenarkan untuk bersentuhan," katanya.

Selain perlawanan tertunda antara PJ City FC dan Terengganu FC, perlawanan Liga Perdana membabitkan pasukan UKM FC dan Kelantan turut sama akan dimainkan pada 22 Ogos ini.

Terdahulu, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah mengeluarkan kenyataan bahawa saingan Liga M akan kembali bersambung pada 26 Ogos dan keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah MFL itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani menegaskan kesemua pasukan tidak dibenarkan mengadakan perlawanan persahabatan bermula 15-28 Julai dan hanya dibenarkan bermula 2 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 8:23 PM