QUARTARARO akan bermula di petak utama dalam GP Sepanyol hari ini. FOTO AFP
QUARTARARO akan bermula di petak utama dalam GP Sepanyol hari ini. FOTO AFP
AFP

PELUMBA Perancis, Fabio Quartararo akan memulakan saingan di petak utama bagi perlumbaan pembukaan musim ini di Grand Prix (GP) Sepanyol, selepas dia berjaya mencatat masa terpantas di Jerez mengetepikan penunggang Yamaha, Meverick Vinales.

Dia berusia 21 tahun, yang mewakili pasukan Petronas Yamaha SRT, mencatat masa satu minit 36.705 saat (s) untuk meraih petak utama buat kali ketujuh dalam saingan MotoGP.

"Hari ini (semalam) memang sangat istimewa buat saya. Sudah tentu kita akan berasa gembira apabila dapat meraih petak utama selepas sekian lama tidak berlumba. Bagaimanapun, ini baru hari Sabtu dan kita harus melakukan perkara sama pada hari Ahad (hari ini)," kata Quartararo.

Dia akan cuba untuk meraih kejuaraan sulungnya hari ini, sekali gus menamatkan penantian ketika kali pertama beraksi di MotoGP musim lalu dengan meraih empat kali naib juara daripada tujuh perlumbaan terakhir.

"Saya tidak terlalu fokus kepada kejuaraan sulung MotoGP, matlamat kami esok adalah untuk berada di podium. Kami mempunyai 13 perlumbaan dalam tempoh yang singkat, jadi kami harus meraih keputusan konsisten," katanya.

Pelumba Sepanyol, Vinales ketinggalan 0.139s tatkala suhu melepasi 34 darjah selsius menguji tahap ketahanan pelumba namun dalam masa sama membantu catatan masa lebih pantas

"Saya sangat baik, secara jujurnya. Saya rasa kami sudah ada peningkatan, terutama dalam cuaca panas. Saya tidak sabar untuk perlumbaan esok," kata Vinales.

Seorang lagi pelumba Yamaha, Valentino Rossi yang sudah tahu dia akan digantikan dengan Quarataro musim depan mencatat masa ke-11 terpantas.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Julai 2020 @ 11:53 AM