WAN Abdul Rahim (kiri) sudah menghantar surat peletakan jawatan sejak 6 Julai lalu selepas setahun tempoh beliau mengemudi Kelantan. FOTO NSTP
WAN Abdul Rahim (kiri) sudah menghantar surat peletakan jawatan sejak 6 Julai lalu selepas setahun tempoh beliau mengemudi Kelantan. FOTO NSTP
Syazwan Msar


LIGA Malaysia (Liga-M) belum lagi bermula namun Kelantan diuji dengan peletakan jawatan Presidennya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah selepas setahun menerajui badan induk bola sepak negeri berkenaan.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan peletakan jawatan Wan Rahim berkenaan berkuat kuasa awal bulan ini.

Beliau berkata, Wan Rahim sudah menghantar surat peletakan jawatan sejak 6 Julai lalu selepas setahun tempoh beliau mengemudi Kelantan.

"Peletakan jawatan itu berkuat kuasa sejak 6 Julai lalu iaitu genap setahun beliau menjadi presiden KAFA selepas dipilih pada Kongres Luar Biasa (EGM) Julai 2019.

"Beliau membuat keputusan melepaskan jawatan itu susulan tidak lagi mampu memimpin KAFA dan untuk memberikan laluan kepada pemimpin baharu bagi memimpin persatuan itu," katanya, di sini.

Sebelum ini Wan Abdul Rahim dan timbalannya Datuk Seri Afandi Hamzah 'direhatkan' buat sementara waktu daripada menguruskan persatuan itu yang tenat dengan pelbagai isu terutamanya hutang dan kewangan.

Sementara itu, Husin berkata setakat ini KAFA belum lagi memikirkan individu yang bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan terbabit.

"Sekarang ini, Pemangku Presiden Datuk Shaari Mat Husin mampu untuk menangani permasalahan dan kemelut yang dihadapi persatuan itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M).

"Keyakinan itu berdasarkan prestasi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Shaari ketika ini apabila diberikan tanggungjawab untuk memimpin KAFA sebagai pemangku presiden dan timbalan presiden," katanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:08 PM