GAYA  Ronaldo (kanan) meraikan jaringan bersama  Leonardo Bonucci  dan Adrien Rabiot di Turin. FOTO AFP
GAYA Ronaldo (kanan) meraikan jaringan bersama Leonardo Bonucci dan Adrien Rabiot di Turin. FOTO AFP
AFP

JUVENTUS semakin hampir mengesahkan gelaran Serie A buat kali kesembilan berturut-turut selepas dua jaringan Cristiano Ronaldo membolehkan mereka menewaskan Lazio 2-1, awal pagi tadi.

Juara bertahan itu menamatkan kemarau kemenangan tiga perlawanan hasil jaringan berganda Ronaldo pada babak kedua yang melonjakkan mereka lapan mata di hadapan Inter Milan di tangga kedua dengan baki empat perlawanan.

Skuad Maurizio Sarri boleh mengesahkan gelaran milik mereka pada Khamis ini ketika menentang Udinese atau ketika menerima kunjungan Sampdoria, bergantung kepada keputusan pencabar lain minggu ini.

Harapan Lazio meraih gelaran pertama Serie A sejak 2000 musnah selepas kekalahan itu meninggalkan mereka di tangga keempat, 11 mata di belakang pendahulu.

Ronaldo meledak gol pertama menerusi penalti selepas rehat dan jaringan kedua diperolehi tiga minit kemudian selepas mendapat hantaran Paulo Dybala.

Bintang Portugal berusia 35 tahun itu kini sudah menjaringkan 30 gol musim ini, menyamai catatan pemain Lazio, Ciro Immobile yang menamatkan kemarau jaringannya menerusi penalti lewat permainan.

Jaringan kedua Ronaldo adalah yang ke-50 dalam saingan Serie A. Dia juga mahu menjadi pemain pertama muncul penjaring terbanyak dalam tiga daripada lima liga utama Eropah selepas melakukannya di England dan Sepanyol.

"Rekod memang penting tetapi kemenangan pasukan jauh lebih penting," kata Ronaldo kepada Sky Sport.

"Saya membantu pasukan untuk menang perlawanan dan menang gelaran. Ada empat lagi baki perlawanan dan kami tahu Serie A adalah kejohanan yang sukar."

Hanya satu mata memisahkan Juventus dengan Lazio ketika Serie A kembali bersaing bulan lalu selepas tiga bulan terhenti akibat pandemik koronavirus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 7:40 AM