Agensi

JURULATIH Roger Federer menegaskan juara 20 kali Grand Slam itu belum bersedia untuk bersara dan menjangkakan dia akan terus beraksi selepas 2021.

Federer mengumumkan tidak akan beraksi pada baki saingan musim 2020 susulan pembedahan lutut kali kedua selepas tewas di tangan Novak Djokovic pada separuh akhir Terbuka Australia sekali gus menimbulkan spekulasi pemain veteran berusia 38 tahun itu mungkin bersara memandangkan ia berlaku pada lewat kariernya.

Ketika ditemu ramah akhbar Jerman, Zeit baru-baru ini, Federer berkata, dia berharap dapat beraksi di hadapan penonton yang sesak sekurang-kurangnya sekali lagi.

"Sebenarnya saya lebih risaukan kesihatan tetapi kini saya rindu beraksi di stadium yang penuh dengan penonton," kata Federer.

"Persaraan semakin hampir dan saya sangat rindukan tenis. Mungkin mudah untuk saya bersara sekarang tetapi saya juga mahu terus nikmati aksi di gelanggang."

Bagaimanapun, jurulatihnya, Severin Luthi mendakwa Federer teruja kembali bertarung dan persaraan tidak sesekali muncul dalam radar.

Dia berkata, Federer belum bersedia menggantung raket sekurang-kurangnya untuk tempoh 18 bulan lagi.

"Roger masih menyayangi kehidupan di sirkit, saya tak pernah dengar dia berkata mahu berhenti kerana menukar gaya hidup atau sudah letih terbang ke serata dunia," katanya kepada majalah Switzerland, Smash.

"Berdasarkan sayangnya kepada tenis dan masa dihabiskan bersama rakan di mana sahaja, saya tak fikir dia akan bersara tahun depan."

Luthi turut akui terdapat persamaan musim ini dengan musim 2016 ketika Federer dilanda kecederaan tetapi dia kembali bangkit dengan menjuarai Terbuka Australia pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 12:59 PM