Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Sharul Hafiz Zam
Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor. FOTO Sharul Hafiz Zam
Noorazura Abdul Rahman


PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) bersedia mengubah peranannya menjadi syarikat swasta berstatus kelab bola sepak sebagai persediaan menghadapi saingan peringkat Asia mulai tahun hadapan.

Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata pihaknya akan merangka model syarikat berteraskan bola sepak yang bakal ditubuhkan bagi memenuhi syarat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Bagaimanapun kita akan mendapatkan gambaran lengkap mengenai perkara berkenaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terlebih dahulu.

"Minggu depan KFA akan mengadakan pertemuan bersama FAM untuk mengetahui apa yang perlu disediakan bagi memenuhi syarat penubuhan syarikat," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Padang Terap, hari ini.

FAM sebelum ini mewajibkan semua pasukan Liga Malaysia menukarkan status pasukan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC) FC sebelum 2021.

Bagi tujuan itu, pasukan bola sepak negeri perlu diurus pihak swasta dan syarikat yang memenuhi syarat ditetapkan FAM dan AFC perlu ditubuhkan terlebih dahulu.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, KFA yakin akan dapat menubuhkan syarikat bagi mencapai status FC dan berpeluang beraksi dalam Liga Malaysia dan Asia pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan syarat penubuhan syarikat itu yang sepatutnya dipenuhi pada tahun depan sudah dilanjutkan ke 2022 akibat pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 4:57 PM