AIDIL ketika perlawanan akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP
AIDIL ketika perlawanan akhir Shopee Piala FA Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO NSTP
Izzali Ismail


KETUA Jurulatih Kedah Aidil Sharin Sahak masih menanti perkembangan mengenai perancangan baharu yang bakal ditentukan pengurusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk skuad Lang Merah selepas pelantikan Muhammad Sanusi Md Noor sebagai Presiden dan Radhi Mat Din sebagai Naib Presiden.

Jurulatih kelahiran Singapura ini berkata, meskipun berdepan beberapa isu serta masalah tunggakan gaji dan kewangan, beliau tetap setia dan yakin pihak pengurusan mampu menanganinya dalam sedikit masa lagi.

"Hati saya tetap di Kedah... walaupun ada sedikit kerisauan, namun saya tetap setia dan keluarga saya juga memberi sokongan kepada saya.

"Saya bersedia menanti apa sahaja perancangan baharu yang bakal ditentukan oleh pihak pengurusan KFA dalam sedikit masa lagi kerana kita tahu banyak perkara perlu diuruskan pihak pengurusan dan sudah pasti saya juga berdoa untuk kejayaan segala perancangan berkenaan.

"Saya sedia memberi sokongan sepenuhnya untuk terus menjayakan pasukan walaupun kita tahu pengurusan juga harus menyelesaikan banyak perkara penting secara serentak buat masa ini," katanya.

Aidil yang merealisasikan kejayaan Kedah merangkul kejuaraan Piala FA musim lalu juga berkata beliau bersedia berhadapan dengan perancangan bajet yang sesuai untuk menyelesaikan masalah bagi melancarkan pasukan yang akan berhadapan Liga Malaysia (Liga M) Ogos ini.

"Saya juga berharap akan dapat bersama-sama pihak pengurusan untuk berbincang dan membantu melicinkan lagi perjalanan pasukan mengikut kemampuan bajet yang diluluskan oleh pihak pengurusan.

"Kita tunggulah nanti apabila pengurusan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat ini untuk menyelesaikan perkara berbangkit mengenai hal kewangan dan isu gaji ini dan kita juga tahu KFA sedang berusaha menubuhkan pasukan berstatus FC yang juga perlukan perhatian terkini," katanya.

Skuad Lang Merah sebelum ini dilaporkan media berdepan isu tunggakan gaji sejak Mac lalu dan kini masih dalam proses menyelesaikan masalah ini secara penuh.

Selepas perlantikan Presiden dan Naib Presiden baharu selesai pada sesi Kongres Luar Biasa (EGM) KFA pada 12 Julai lalu, kini KFA juga sedang melalui fasa awal bagi meneruskan proses penswastaan kelab bola sepak bagi memenuhi syarat pelesenan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 7:29 PM