Werner (kiri) mula jalani latihan di Chelsea. FOTO Agensi
Werner (kiri) mula jalani latihan di Chelsea. FOTO Agensi
AFP

TIMO Werner mendedahkan pengurus Chelsea, Frank Lampard adalah faktor utama mempengaruhi keputusannya menyertai The Blues bagi musim depan sekalipun menarik minat beberapa kelab utama Eropah.

Werner, 24, menjaringkan 34 gol buat RB Leipzig pada musim 2019/20 tetapi tidak menjadi sebahagian skuad kelab Jerman bersaingan pada kempen Liga Juara-Juara bulan depan kerana sudah berada di Stamford Bridge bagi melakukan persiapan musim depan.

Pemain kebangsaan Jerman itu menarik perhatian selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Liverpool hanya beberapa bulan selepas Werner bercakap mengenai kejayaan bos Reds, Jurgen Klopp.

Namun, Werner berkata ia adalah visi Lampard bagaimana dia dapat menyesuaikan diri dengan barisan serangan muka baharu skuad itu musim depan.

Penampilan Hakim Ziyech yang sudah ditandatangani dari Ajax turut menambah keyakinan Werner untuk ke Chelsea.

"Dia (Lampard) adalah faktor utama, kami banyak bercakap mengenai perkara seperti sistem, seperti bagaimana dia mahu corak permainan dan melihat saya beraksi serta bagaimana sistem berkenaan sesuai dengan saya," kata Werner kepada laman web Chelsea mengenai pengaruh Lampard.

"Dia seorang yang baik bukan hanya memberitahu saya apa yang dikehendakinya dari saya sebagai pemain malah menjadikan saya lebih matang.

"Dia mengenali saya lebih dekat lagi buat waktu ini dan ia sesuatu yang baik buat kami dan kini saya gembira untuk berada di sini."

Kemenangan pada perlawanan terakhir ke atas Wolves mengesahkan tempat Chelsea dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 8:41 AM