BEKAS penjaga gol hoki kebangsaan, Muhamad Hafizuddin Othman tekad lahirkan lebih ramai penjaga gol berwibawa. FOTO Malik Muhamad
BEKAS penjaga gol hoki kebangsaan, Muhamad Hafizuddin Othman tekad lahirkan lebih ramai penjaga gol berwibawa. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


BEKAS penjaga gol hoki kebangsaan, Muhamad Hafizuddin Othman meletakkan harapan yang tinggi untuk mencungkil seberapa ramai penjaga gol muda sebagai pelapis kepada pasukan negeri dan negara.

Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu yang sudah membuat penampilan bersama skuad kebangsaan sebanyak 58 kali kini diberi peranan membimbing skuad Sukan Malaysia (Sukma) lelaki dan wanita Terengganu bagi menghadapi temasya sukan dwitahunan itu di Johor pada Mac tahun depan.

"Selepas terpilih buat pertama kali membimbing pasukan Sukma negeri, menjadi impian saya untuk membantu melahirkan lebih ramai penjaga gol berkualiti bertaraf kebangsaan dan dunia.

"Saya berkeyakinan jika ditambah komitmen yang tinggi daripada pemain itu sendiri sudah pasti hasrat saya itu bakal menjadi kenyataan lagipun saya lihat ramai bakat muda yang semakin meminati sukan itu

"Jadi kini masa yang sesuai buat saya untuk membimbing mereka lagipun peluang ini tidak selalunya hadir apatah lagi dapat membantu pasukan negeri yang pernah berjasa kepada saya sehingga menjadi penjaga gol kebangsaan," kata Hafizuddin.

Sebelum ini Hafizuddin 28 bersama empat lagi rakan sepasukannya dalam Pasukan Hoki Terengganu (THT) iaitu penyerang, Faizal Saari, Mohamad Shazwi Rani (pertahanan), Muhammad Fikri Ardillah Saifullah (tengah) dan Wan Mohd Azlan Wan Rohaimi (penyerang) dipilih oleh Persatuan Hoki Negeri Terengganu (PHNT) untuk mempersiapkan pemain Sukma negeri.

Mengulas lanjut, Hafizuddin yang pernah bersaing dengan penjaga gol utama kebangsaan, S Kumar ketika bersama dalam pasukan kebangsaan tidak menolak kemungkinan ingin menyertai semula pasukan negara jika dipanggil kerana belum berniat untuk bersara dalam arena yang diminati sejak kecil itu.

"Walaupun pernah bergelar penjaga gol kebangsaan ini tidak bermakna saya sudah memiliki ilmu yang cukup, sebaliknya peluang yang diberikan sebagai jurulatih akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk memantapkan lagi corak permainan bagi mengintai peluang mewakili skuad kebangsaan biarpun kali ini tidak disenaraikan," kata Hafizuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 4:36 PM