LAWRENCE (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya. FOTO Ihsan Mladen
LAWRENCE (tiga dari kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukannya. FOTO Ihsan Mladen
Syazwan Msar


KEHADIRANNYA dalam pasukan ragbi mungkin hanya dianggap sebagai pelengkap lebih lagi jika berasal dari negara Asia Tenggara sekali gus mempunyai stigma negatif terhadap kemampuannya beraksi dalam skuad utama.

Namun, stigma terbabit berjaya dikikis pemain ragbi negara, Lawrence Petrus apabila kini dia dianggap bintang yang bakal menyinar apabila berjaya membuktikan kemampuan membantu pasukan meraih lebih kejayaan.

Ketika ini, Lawrence boleh mendabik dada apabila kehadirannya dalam skuad utama berjaya membantu pasukan iaitu Universiti Western Australia (UWA) berpangkalan Perth, Australia mencipta empat kemenangan berturut-turut sebaik kejohanan Ragbi Australia bermula.

Lawrence berkata, kemampuannya beraksi bersama pemain tempatan dan antarabangsa jelas sekali dikagumi barisan kejurulatihan pasukan sebelum mereka memutuskan menyenaraikannya dalam skuad utama.

"Tekad saya adalah mahu membuktikan kemampuan bahawa anak Malaysia juga hebat di persada antarabangsa dalam sukan ragbi.

"Jurulatih banyak memberi kata-kata semangat dan sokongan supaya saya sentiasa dapat meningkatkan keupayaan diri seterusnya membantu pasukan mencipta lebih banyak kejayaan.

"Setakat empat perlawanan yang sudah saya lalui, sudah mula mendapat keserasian bersama rakan sepasukan malah berharap dapat mengekalkan momentum kemenangan seperti sebelum ini," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Dia yang juga pemain ragbi pertama beraksi di Australia berkata, perlawanan kelima yang berlangsung nanti cukup penting kerana bertembung dengan pasukan yang turut merekodkan empat kemenangan berturut-turut.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan tonggak skuad kebangsaan itu mendapat tawaran untuk bermain bersama skuad UWA.

Hal ini bermakna, jika tiada sebarang halangan, Lawrence bakal menjadi pemain negara pertama beraksi di Australia dan juga pemain keempat Malaysia berkelana ke luar negara untuk mengembangkan bakat masing-masing bersama pasukan elit.

Lawrence yang berasal dari Tawau Sabah berkata, tawaran untuk mewakili pasukan terbabit untuk beraksi pada kejohanan RugbyWA Sesi 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 4:41 PM