Mohamad Azlin (tengah) berkata pengurusan tertinggi PAFA bakal membentangkan pelan penswastaan pasukan pada Kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung Selasa depan. FOTO NSTP
Mohamad Azlin (tengah) berkata pengurusan tertinggi PAFA bakal membentangkan pelan penswastaan pasukan pada Kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung Selasa depan. FOTO NSTP
Firdaus Hashim


LAPAN pasukan yang dikategorikan dalam situasi 'bahaya' untuk diturunkan taraf ke Liga Amatur pada musim hadapan tampil menyatakan komitmen untuk segera menyelesaikan isu penswastaan pasukan sebelum tarikh akhir 30 September ini.

Hasil tinjauan Arena Metro mendapati lapan pasukan iaitu PDRM, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Sabah, Pahang, UiTM FC dan UKM FC kini dalam peringkat terakhir untuk melengkapkan proses pemisahan sekali gus menswastakan pasukan masing-masing.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Perak (PAFA), Mohamad Azlin Mohd Nadzri berkata, pengurusan tertinggi PAFA bakal membentangkan pelan penswastaan pasukan pada Kongres badan induk itu yang dijadualkan berlangsung Selasa depan.

"Takkan kita nak biarkan pasukan Perak bermain di Liga Amatur, jadi sudah tentu kita juga sedang berusaha ke arah menswastakan pasukan.

"Saya yakin kita akan dapat selesaikan sebelum tarikh akhir dan saya harap FAM bersabar kerana masih ada dua bulan lagi," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan akhbar ini, Pengerusi Jawatankuasa Khas Bolasepak Profesional Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed mendedahkan kegagalan pasukan menyempurnakan pelaksanaan penswastaan akan menyebabkan mereka bakal diturunkan pangkat beraksi dalam di liga amatur.

Katanya, mana-mana pasukan tidak kira yang beraksi di Liga Super mahupun Liga Perdana berisiko bermain di Liga M3 dan semua pasukan diingatkan supaya segera melaksanakan proses berkenaan.

Menurutnya, keputusan beraksi di Liga M3 adalah berdasarkan ketetapan dibuat sebelum ini di mana hanya pasukan yang melepasi syarat itu saja dibenarkan menyertai pertandingan peringkat AFC, Liga Super dan Liga Perdana musim depan.

Keyakinan sama turut dikongsi oleh Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa apabila mengesahkan pihaknya akan mengadakan Mesyuarat Exco pada Rabu depan.

Jelas Nokman, kemungkinan pasukan yang diswastakan itu nanti akan bergerak sebagai Kuala Lumpur United dan dalam tempoh dua tahun pihaknya akan mencari rakan kongsi yang berminat untuk melabur ke dalam pasukan.

"Tempoh hari saya ada bertanya kepada bahagian 'Club Licensing' FAM dan katanya boleh tunggu sampai dua tahun dan selepas dua tahun kita kena lepaskan pegangan saham dalam pasukan.

"Buat masa ini, KLFA masih boleh pegang lagi sebagai pemegang penuh sebab kita pun bila nak buat syarikat kena tengok siapa pihak yang sanggup nak masuk buat masa ini. Lainlah kalau ia boleh buat duit, saya ingat tak ada masalah.

"Jadi kita jalan dulu, lepas itu perlahan-lahan kita cari lima atau enam rakan kongsi dan itulah perancangan KLFA," kata Nokman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 7:31 PM