SATHIANATHAN berkata persatuan itu menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan hak ahlinya, jika kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tidak memperincikan terma dengan jelas. FOTO NSTP
SATHIANATHAN berkata persatuan itu menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan hak ahlinya, jika kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tidak memperincikan terma dengan jelas. FOTO NSTP
BERNAMA

KELEMAHAN dalam jenis dan terma kontrak yang ditawarkan kepada jurulatih menyukarkan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) mendapatkan keadilan kepada jurulatih yang berdepan masalah pembayaran gaji dan pampasan.

Presiden PJBM B. Sathianathan berkata persatuan itu menghadapi kesukaran untuk memperjuangkan hak ahlinya, jika kontrak yang ditandatangani bersama pasukan tidak memperincikan terma dengan jelas, di mana terdapat tiga jenis kontrak yang digunakan di Malaysia.

Pertamanya, seseorang jurulatih itu diberikan surat tawaran yang hanya sehalaman untuk membimbing pasukan, tetapi tidak mempunyai butiran yang jelas, sekali gus tidak boleh dianggap sebagai kontrak.

Ia berlaku apabila seseorang jurulatih itu, terutamanya baharu atau muda, mempunyai pekerjaan lain dan mengambil cuti tanpa gaji atau tanpa rekod untuk mencuba nasib dalam bidang kejurulatihan.

"Keduanya, ada persatuan yang meletakkan syarat 'setelah berakhirnya pertandingan, maka kontrak dibatalkan'. Jadi apabila sesuatu pertandingan dibatalkan, maka kontrak itu terbatal.

"Ketiga adalah kontrak yang paling wajar, di mana pasukan dan jurulatih tandatangan untuk sesuatu tempoh, seperti sehingga November 2020. Ini baru kita boleh perjuangkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, beliau yang juga ketua jurulatih pasukan Liga Super, Selangor, turut mengesa jurulatih yang masih belum menerima gaji atau pampasan yang sewajarnya daripada pasukan masing-masing supaya tampil melaporkan perkara itu kepada PJBM.

Sathianathan berkata PJBM tidak dapat membantu mana-mana jurulatih yang teraniaya jika mereka sendiri tidak melaporkan isu itu kerana bimbang akan hilang pekerjaan.

"Saya atau PJBM bukan ahli sihir untuk mengetahui bahawa kamu teraniaya jika tidak dilaporkan. Kalau seseorang jurulatih itu cakap belakang sahaja, kita tak tahu...Kalau mereka takut dengan kebajikan, takut diambil tindakan, jangan jadi jurulatih.

"Kita ini ada kontrak, kena memperjuangkan hak kita. Jangan takut nanti tidak dapat kerja lain, persatuan tidak akan ambil bekerja...Ini kerja kamu, tiada yang datang secara percuma," katanya.

Beliau berkata mungkin ada beberapa jurulatih mengambil pendekatan berdiam diri dan menunggu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelesaikan masalah gaji dengan mewajibkan pembayaran gaji penuh, selepas Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) dibatalkan, manakala Liga Super dan Liga Premier ditangguh lebih lima bulan akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, FAM mewajibkan pasukan membayar sekurang-kurangnya 25 peratus daripada gaji keseluruhan kepada pemain dan jurulatih terlibat disebabkan oleh pembatalan saingan itu.

Menurut Sathianathan, PJBM juga sedang menyediakan afidavit untuk sebuah kes membabitkan Persatuan Bola Sepak Sarawak yang belum menyelesaikan gaji seorang jurulatih yang 'direhatkan' musim lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 8:34 PM