JALANI Sidek. FOTO Hasriyasyah Sabudin
JALANI Sidek. FOTO Hasriyasyah Sabudin
Datuk Seri Jalani Sidek

KES positif Covid-19 membabitkan pemain bola sepak Kuching FA baru-baru harus menjadi iktibar kepada semua pihak terutama arena badminton negara.

Kalau boleh janganlah timbul pula 'kluster badminton' di kalangan pemain negara ketika pandemik ini dilihat masih belum reda dan kembali mencetuskan kebimbangan berikutan peningkatan kes positif sejak akhir-akhir ini.

Sebab itu daripada awal lagi saya menyokong tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menjalankan sesi latihan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

Pemain tidak boleh suka-suka keluar masuk Akademi Badminton Malaysia (ABM) sepanjang tempoh sesi latihan. Saya juga menyokong tindakan tidak menganjurkan sebarang kejohanan termasuklah Terbuka Malaysia pada hujung tahun ini kerana kebimbangan yang saya sebutkan tadi.

Bayangkan jika wujudnya 'kluster badminton' atau 'kluster sukan', pastinya ia mencetuskan suasana yang tidak baik dan menjejaskan persiapan skuad negara bagi menghadapi kejohanan akan datang.

Keputusan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membatalkan empat kejohanan utama sepanjang September juga adalah sangat tepat.

Lebih elok jika BWF membatalkan kesemua kejohanan sepanjang tahun ini kerana kita semua sedia maklum wabak Covid-19 masih belum reda di seluruh dunia.

Lagipun apa guna menganjurkan kejohanan tanpa kehadiran penonton. Ia pasti akan merugikan semua pihak terutamanya penaja.

Kepada semua, ingatlah kita belum lagi menang dalam peperangan menangani Covid-19 ini. Sentiasa patuh kepada SOP dan terus berdoa segala-galanya akan berakhir. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2020 @ 9:14 PM