KELUARGA Martinez sedih ketika dia membuat keputusan meninggalkan Argentina pada usia remaja. FOTO Agensi
KELUARGA Martinez sedih ketika dia membuat keputusan meninggalkan Argentina pada usia remaja. FOTO Agensi
Agensi

EMILIANO Martinez tidak dapat menahan sebak ketika meraikan kejayaan Arsenal meraih Piala FA selepas memikirkan pengorbanannya meninggalkan negara kelahiran, Argentina sejak 10 tahun lalu untuk menyertai kelab London itu pada usia remaja.

Martinez mempunyai kisah di sebalik kejayaan The Gunners sejak memperoleh peluang menjadi penjaga gol utama di Emirates buat kali pertama selepas sedekad di kelab berkenaan.

Ia disebabkan Bernd Leno mengalami kecederaan ketika bertembung dengan Neal Maupay pada aksi menentang Brighton Jun lalu.

Selepas tamat perlawanan, Martinez ditemubual oleh wartawan bersama-sama Pierre-Emerick Aubameyang dan ketika itu dia tidak dapat menahan sebak.

Pemain berusia 27 tahun itu juga kelihatan melakukan panggilan video dengan keluarganya selepas meraikan kejayaan bersama pasukannya dan sekali lagi dia mengalirkan air mata.

Martinez meninggalkan Independiente pada usia 16 tahun, untuk menyertai skuad remaja Arsenal dan hasratnya hanyalah satu untuk membantu keluarganya yang hidup susah.

"Keluarga saya bergelut dengan masalah kewangan. Saya juga melihat adik dan ibu saya menangis tidak membenarkan saya meninggalkan Argentina. Saya juga pernah melihat bapa saya menangis ketika lewat malam kerana tidak mampu membayar bil," kata Martinez.

Ketika ditanya wartawan BBC, Dan Walker mengenai apakah maknanya kejayaan itu dengan keluarganya, Martinez tidak dapat menahan kesedihan sebelum ditenangkan oleh Aubameyang.

Sedekad bersama kelab dia menghabiskan masa dengan dipinjamkan ke Oxford United, Sheffield Wednesday, Rotherham United, Wolves, Getafe dan Reading.

Dia hanya melakukan 14 penampilan bersama kelab dalam tempoh lapan musim dalam skuad utama, tatkala penjaga gol lain bersilih ganti, dibeli dan dijual.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 4:25 PM