CHOONG Hann (dua dari kiri) berkata pertandingan itu menjadi kayu pengukur kepada keupayaan pemain. FOTO Hairul Anuar Rahim
CHOONG Hann (dua dari kiri) berkata pertandingan itu menjadi kayu pengukur kepada keupayaan pemain. FOTO Hairul Anuar Rahim
Syazwan Msar


HAMPIR empat bulan sendu tanpa sebarang pertandingan, akhirnya arena badminton negara kembali 'meriah' dengan penganjuran Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton (BAM) yang bakal berlangsung bulan ini.

Menerusi kenyataan media BAM, perlawanan berkenaan yang berlangsung 5 hingga 16 Ogos itu membabitkan pemain akar umbi daripada Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

Perlawanan pertama yang berlangsung selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan bermula dengan saingan Divisyen 2 pada Rabu depan sebelum saingan utama, Divisyen 1, membuka tirai pada 12 Ogos ini.

Dua pemain terbaik dalam Divisyen 2 akan menyertai Divisyen 1 yang menampilkan semua lima kategori di mana seramai 52 pemain termasuk lapan pemain profesional bersedia untuk menyertai pertandingan divisyen satu selama enam hari.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann berkata, pertandingan berkenaan penting bagi memberi pendedahan kepada pemain selepas berehat dalam tempoh yang lama.

Beliau berkata, pertandingan terbabit juga menjadi kayu pengukur kepada keupayaan pemain sekali gus dapat melakukan penambahbaikan bagi memperbaiki kelemahan masing-masing.

"Kejohanan ini juga menjadi medan kepada pemain untuk mengekalkan momentum dan lebih berdaya saing apabila menyertai pertandingan lain pada masa akan datang.

"Malah, mereka juga perlu bijak dan menggunakan kepakaran menentang rakan sepasukan yang sudah tentu mengetahui corak atau gaya permainan masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Ogos 2020 @ 7:36 PM