STUART Ramalingam.
STUART Ramalingam.
Syazwan Msar


JIKA ada anugerah pasukan paling malang, ia mungkin milik Kelantan selepas mereka dikenakan hukuman pemotongan tiga mata berikutan kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual yang ditetapkan.

Perkara terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam selepas keputusan itu diputuskan oleh Jawatankuasa Status badan induk bola sepak berkenaan sebelum ini.

Beliau berkata, keputusan berkenaan diputuskan melalui mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara 'teleconferencing' bersama ahli jawatankuasa yang lain hari ini.

Pada mesyuarat itu, empat kes dibincangkan iaitu membabitkan pasukan Persatuan Bolasepak Melaka (Musa), PDRM, Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa).

Beliau berkata, kes membabitkan Kelantan pada tarikh akhir bayaran ansuran pertama dan kedua iaitu pada 31 Januari dan 29 Februari itu berjaya membuat bayaran mengikut pelan penyelesaian bagi baki yang masih tertunggak.

"Bagi baki tunggakan yang belum diselesaikan mengikut ketetapan disediakan, Kelantan diberi sehingga tarikh akhir bayaran ketiga iaitu pada 30 April 2020 untuk menyelesaikan tunggakan.

"Sekiranya Kelantan gagal berbuat demikian, ia boleh mengakibatkan tindakan pemotongan tiga mata dikenakan. Namun, setelah mengambil kira situasi semasa akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), FIB Pelesenan Kelab FAM tmembuat keputusan untuk melanjutkan masa sehingga 30 Julai 2020 untuk Kelantan menyelesaikan bayaran tunggakan gaji, elaun pegawai serta pemain," katanya.

Stuart berkata sehingga 30 Julai lalu, tiada sebarang pembayaran baki yang masih tertunggak dibuat oleh Kelantan seperti mana jadual pembayaran yang mereka sendiri sudah tetapkan dan maklumkan kepada FAM.

Sementara itu, bagi PDRM yang sebelum ini dipotong tiga mata pada tarikh akhir pertama iaitu pada 31 Januari 2020, pasukan ini mula menunjukkan pergerakan positif dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka berbanding sebelum ini dan hanya mempunyai satu kes di tahap rayuan pada masa ini.

"Melaka pula yang sebelum ini telah dipotong tiga mata selepas tarikh akhir kedua bayaran ansuran tunggakan 2019 pada hujung Februari lalu, FAM masih memantau pelan pembayaran yang telah dipersetujui dan ditetapkan mereka bersama pemain dan pegawai terbabit yang mana ketika ini masih berjalan lancar.

"Pasukan Sarawak pula masih hanya mempunyai tunggakan hutang dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), sama seperti pasukan PB Kelantan, PDRM dan Melaka yang turut mempunyai tunggakan hutang dengan agensi-agensi kerajaan ini sama ada LHDNM, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan Kelantan menanggung hutang mencecah RM10 juta membabitkan tunggakan gaji pemain dan beberapa hutang lain.

Selain itu, Kafa juga dirundung masalah pengurusan hingga menyebabkan presidennya, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah meletakkan jawatan selepas setahun memegang tampuk pemerintahan.

Nasib malang Kafa tidak terhenti di situ apabila dikhabarkan tiga pemain termasuk seorang awang import sudah angkat kaki meninggalkan pasukan selepas tidak menerima gaji hampir lima bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 6:35 PM