REAKSI  pemain Kelantan selepas menjaringkan gol ketika menentang  UKM FC  di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
REAKSI pemain Kelantan selepas menjaringkan gol ketika menentang UKM FC di Stadium Sultan Muhammad ke IV, Kota Bharu.
Syazwan Msar

KETIKA rata-rata pasukan bersemangat mahu kembali mewarnai Liga Malaysia (Liga M) yang terhenti lebih empat bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kelantan berbeza pula pendirian apabila mahukan ia dibatalkan terus berikutan pelbagai masalah.

Kelantan yang berhadapan isu tunggakan gaji dan hutang membabitkan bekas pemain selain perubahan pucuk pimpinan, kini melihat saingan Liga M yang bakal bersambung hujung bulan ini bagaikan 'bala' sekali gus membayangkan situasi pasukan bertambah tenat.

Malah, isu penswastaan pasukan sebelum tarikh akhir 30 September ini juga masih belum selesai sepenuhnya dengan beberapa perkara masih lagi dalam perbincangan untuk mendapatkan kata sepakat.

Perkara terbabit diluahkan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Hussin Deraman yang ketika ini masih lagi bertungkus lumus menyelesaikan isu berkenaan dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, situasi yang melanda Kelantan menyebabkan ada exco Kafa mencadangkan supaya pasukan dari pantai timur itu menarik diri daripada saingan Liga M pada musim ini bagi memperbetulkan kembali 'kerosakan' dan masalah yang melanda.

"Sudah tentu apabila saingan Liga M bersambung, setiap perlawanan memerlukan kos lebih tinggi membabitkan pengangkutan, penginapan dan kawalan keselamatan.

"Bertambah parah, penonton pula tidak dibenarkan untuk hadir ke stadium sekali gus Kelantan hilang sumber kewangan yang boleh digunakan bagi menampung perbelanjaan itu.

"Jika melihat pada situasi sekarang, lebih baik Liga M dibatalkan seterusnya boleh memberi tumpuan menyelesaikan tunggakan gaji dan penswastaan yang tinggal dua bulan lagi tempoh

akhir," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Saingan Liga M bersambung 26 Ogos ini selepas ditangguhkan sejak 16 Mac lalu disebabkan pandemik Covid-19.

Keputusan menerusi persetujuan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) itu dicapai selepas menilai banyak faktor termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding dalam memastikan kualiti Liga M lebih kompetitif dan berkualiti.

Pertandingan Piala Malaysia yang bermula pada 17 Oktober akan berakhir pada 7 November manakala Piala FA serta Piala Cabaran dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 10:44 PM