WAN Kuzri miliki kualiti hantaran tepat kepada rakan.
WAN Kuzri miliki kualiti hantaran tepat kepada rakan.
Syazwan Msar

BOLEH dikatakan hampir lengkap apabila kehadiran pemain muda yang beraksi di Amerika Syarikat, Wan Kuzri Wan Kamal sudah tentu memudahkan penyerang skuad bawah 19 (B-19) tahun negara, Luqman Hakim Shamsudin merobek gawang lawan pada Kejuaraan B-19 AFC di Uzbekistan, Oktober depan.

Luqman yang gembira dapat menyertai kem latihan berkata, Kuzri mempunyai kualiti sebagai seorang pemain antarabangsa selain mempunyai hantaran tepat seperti bintang Jerman Tony Kroos.

Luqman berkata, ketika ini terlalu awal untuk merumuskan gandingan Luqman-Kuzri dalam skuad B-19 namun akan cuba sedaya upaya membina persefahaman yang baik antara mereka. "Dia (Kuzri) pemain yang bagus daripada apa yang saya tengok melalui video di Youtube, Kuzri mempunyai gaya permainan seperti pemain luar negara.

"Pengalaman dan taktikal yang ada pada Kuzri boleh dikongsi bersama rakan sepasukan untuk memperbaiki lagi corak permainan individu," katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad B-19 fasa kedua, di Kompleks Sukan PKNS, hari ini.

Sementara itu, Luqman berkata, tiada laluan istimewa buatnya untuk terpilih dalam senarai akhir skuad B-19 walaupun dikatakan mempunyai kelebihan berdasarkan prestasi sebelum ini. Skuad B-19 diundi dalam kumpulan D bersama Qatar, Yaman dan Tajikistan dalam persediaan untuk menghadapi pusingan akhir kejuaraan B-19 AFC dari 14 hingga 31 Oktober depan di Tashkent, Uzbekistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 12:01 AM