Andy Murray. FOTO AFP
Andy Murray. FOTO AFP
AFP

JUARA tiga kali Grand Slam, Andy Murray antara empat pemain yang diberikan 'wild card' pada Terbuka Western & Southern menurut penganjur kejohanan yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Bekas juara Wimbledon dan Terbuka AS (Amerika Syarikat), Murray diberikan slot disamping pemain AS, Tommy Paul, Tennys Sandgren dan Frances Tiafoe bagi kejohanan itu yang juga aksi pemanas badan bagi Grand Slam di New York bermula 31 Ogos ini.

Terbuka Western & Southern kebiasaannya berlangsung di Cincinnati tetapi dipindahkan ke New York sementara dalam usaha mengurangkan risiko penularan Covid-19 bagi pemain yang melakukan perjalanan untuk bertanding di Flushing Meadows.

Murray adalah pemenang di Cincinnati pada 2008 dan 2011, menjadikan dia salah seorang daripada enam bekas pemenang yang menyertai kejohanan itu pada tahun ini selain penampilan Daniil Medvedev, Novak Djokovic, Grigor Dimitrov, Marin Cilic dan Rafael Nadal.

Ia akan menjadi penampilan pertama Jelajah ATP buat Murray pada 2020.

Pemain dari Scotland berusia 33 tahun itu menjalani dua pembedahan pinggul dan tidak beraksi pada perlawanan jelajah utama sejak Piala Davis tahun lalu.

Kejohanan akan berlangsung dari 20-28 Ogos di Pusat Tenis Nasional Billie Jean King USTA dekat New York.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 9:21 AM