Mariano Puerta. FOTO AFP
Mariano Puerta. FOTO AFP
AFP

BEKAS pemain tenis Argentina, Mariano Puerta mengakui dia menipu untuk mendapatkan hukuman lebih ringan apabila terperangkap kes doping selepas tewas aksi final kepada Rafael Nadal di Terbuka Perancis 2005.

"Penjelasan yang kami gunakan sebagai strategi adalah penipu. Tetapi saya tidak mendapat kelebihan ketika bersukan, saya tidak mahu dilabelkan sebagai seorang penipu lagi," kata Puerta kepada akhbar La Nacion.

Legenda Sepanyol, Nadal bangkit daripada kekalahan pada perlawanan pertama dalam aksi penentuan untuk menang kejuaraan pertama Grand Slam di Roland Garros - di mana dia dimahkotakan juara dengan rekod 12 kali.

Susulan final itu, Puerta yang kini berusia 41 tahun, didapati positif bahan terlarang etilefrine.

Puerta (kanan) dan Rafael Nadal (kiri) memegang trofi masing-masing disamping pemain bola sepak Perancis, Zinedine Zidane (tengah) selepas aksi final Terbuka Perancis 2005. FOTO File AFP
Puerta (kanan) dan Rafael Nadal (kiri) memegang trofi masing-masing disamping pemain bola sepak Perancis, Zinedine Zidane (tengah) selepas aksi final Terbuka Perancis 2005. FOTO File AFP

Dia sudahpun menjalani hukuman penggantungan doping selama sembilan bulan pada 2003 selepas didapati positif pengambilan bahan terlarang.

Bagi kesalahan berikutnya dia sepatutnya dijatuhi hukuman penggantungan selama lapan tahun.

Bagaimanapun, dia memberi alasan secara tidak sengaja menelan etilefrine dari segelas air minuman isterinya yang dijadikan ubat untuk sakit haid sehingga hukumannya dikurangkan kepada dua tahun oleh Mahkamah Timbang Tara bagi Sukan.

Puerta memberitahu La Nacion pada waktu itu juga dia mengambil nutrisi tambahan yang mengandungi "kafein dan ginseng" yang diperoleh daripada rakan kepada jurulatih peribadinya, Dario Lecman dan dikesan mengandungi etilefrine.

"Kami tidak dapat melakukan apa-apa kerana pil itu diberikan, saya tidak tahu bagaimana menjelaskan perkara ini... tidak dalam aspek undang-undang," kata Puerta.

"Peguam saya tidak fikir ia sesuatu yang baik untuk memperkatakan mengenai apa yang berlaku."

Bagaimanapun, ditanya oleh La Nacion, Lecman memberitahu : "Saya tidak ada kena mengena dengan perkara ini. Saya tidak memberikan dia apa-apa. Ia satu penipuan."

Bekas jurulatih Puerta, Andres Schneiter turut merasa ragu dengan penjelasan itu.

"Saya tanya kepadanya apa yang berlaku dan dia memberitahu dia tidak tahu. Saya rasa dia menipu. Saya dapat merasakan jawapan berkenaan tidak jujur, saya fikir dia mengambil sesuatu tanpa mengetahuinya dan ia saya kecuaian," kata Schneiter.

Puerta berada pada ranking kesembilan dalam dunia ketika itu tetapi gagal berada di tahap itu lagi selepas kembali beraksi pada 2007 dan bersara dua tahun kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:13 AM