MARQUEZ terlepas dua perlumbaan berturut-turut.
MARQUEZ terlepas dua perlumbaan berturut-turut.
AFP

JUARA bertahan MotoGP dunia, Marc Marquez terlepas perlumbaan kedua berturut-turut apabila dia disahkan tidak dapat beraksi di Grand Prix Republik Czech pada Ahad ini susulan satu lagi pembedahan di lengan kanan, menurut jurucakap pasukannya hari ini.

"Selepas menjalani pembedahan kedua di lengan kanan, Marc Marquez dan HRC membuat keputusan tidak berlumba di Republik Czech bagi membolehkan Marquez dapat pulih dengan lebih cepat," kata Repsol Honda dalam satu kenyataan.

Pelumba Sepanyol itu menjalani pembedahan di Barcelona semalam di bahagian lengan yang patah ketika menyertai perlumbaan pembuka tirai di Sepanyol pada 19 Julai. Dia kemudiannya terlepas perlumbaan di Jerez walaupun pada mulanya diisytiharkan cergas, hanya 48 jam selepas plat titanium ditanam dalam lengannya.

Marquez akan digantikan dengan pelumba ujian dari Jerman, Stefan Bradl yang mempunyai 95 karier permulaan dalam kelas perdana.

"Pembedahan pertama berjaya, apa yang tidak dijangkakan ialah plat itu tidak mencukupi," kata Dr Xavier Mir hari ini.

"Dia bagaimanapun tidak mengalami kesakitan dalam tempoh ini. Marquez selalu mematuhi nasihat perubatan dan kami kini perlu menunggu 48 jam untuk memahami tempoh penyembuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 10:09 PM