Jon Rahm. FOTO AFP
Jon Rahm. FOTO AFP
AFP

JON Rahm baru-baru ini merasai pengalaman pertama menjadi pemain nombor satu dunia dan dia kini bersemangat untuk terus memburu kejuaraan major pertamanya.

Rahm memenangi kejohanan Memorial dua minggu lalu untuk mengatasi Rory McIlroy dan berada di puncak ranking, sekali gus menjadi pemain pertama Sepanyol sejak Seve Ballesteros berada di kedudukan teratas itu.

Namun kedudukan di No.1 tidak bertahan lama. Justin Thomas mengatasi Rahm pada minggu lalu, selepas memenangi WGC-FedEx St. Jude Invitational di Memphis.

"Saya fikir kita berada di era kini yang menyukarkan semua orang untuk menjarakkan kedudukan masing-masing," kata Rahm ketika latihan Kejohanan PGA minggu ini di TPC Harding Park dekat San Francisco.

"Kita mempunyai terlalu ramai pemain hebat. Hanya berada pada mata tertentu untuk dua atau tiga bulan, salah seorang daripada kami mampu beraksi cemerlang dan mengambil alih tempat No.1."

Rahm membayangkan situasi di mana pemain di ranking teratas mungkin berkongsi antara empat atau lima pemain utama sama seperti acara tenis membabitkan 'big four' antaranya Roger Federer, Rafael Nadal, Novak Djokovic dan Andy Murray.

"Ia adalah waktu yang menarik buat golf. Ia sama seperti tenis yang mempunyai Rafa, Djokovic dan Federer yang bertanding pada masa sama.

"Siapa di No.1, anda tidak tahu, ia bergantung kepada siapa beraksi lebih baik pada tahun itu."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 11:10 AM