X
PEMAIN Negeri Sembilan gigih menjalani latihan.
PEMAIN Negeri Sembilan gigih menjalani latihan.
Mohd Amin Jalil


NEGERI Sembilan mengatur tiga aksi persahabatan dengan pasukan Liga Super bagi menilai prestasi pemain menjelang pertembungan menentang Terengganu FC II (TFCII) pada aksi Liga Perdana, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, 26 Ogos ini.

Ketua jurulatih, Sazali Saidun berkata, perlawanan persahabatan pertama membabitkan aksi menentang Selangor di Paroi, 12 Ogos ini, disusuli dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Felda United FC.

Katanya, pihaknya merancang mengadakan sekurang-kurangnya lima aksi persahabatan sebelum memulakan cabaran sebenar dalam liga pada 26 Ogos.

"Perlawanan itu diharap dapat mengembalikan semula keyakinan pemain dan rentak pasukan selepas lebih empat bulan tiada perlawanan, susulan penangguhan Liga Malaysia bermula 16 Mac lalu, bagi menangani penularan wabak pandemik Covid-19.

"Saya berharap menerusi aksi persahabatan menentang pasukan berwibawa daripada Liga Super ini, pemain mendapat kembali rentak terbaik bagi memulakan misi memburu kemenangan dalam baki tujuh perlawanan liga," katanya hari ini.

Sazali yang berpuas hati dengan tahap kecergasan anak buahnya selepas latihan dikendalikan hampir dua bulan berjalan lancar, mahu pemain fokus kepada baki tujuh perlawanan yang bakal menjadi penentu kepada nasib skuad Hobin Jang Hobin, musim ini.

Pengendali berasal dari Johor itu berkata, pemainnya perlu memanfaatkan sepenuhnya empat aksi di laman sendiri selain memastikan tidak kehilangan mata pada tiga aksi di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2020 @ 10:13 PM