LUQMAN (kiri) akui boleh berbahasa Inggeris. FOTO AIZUDDIN SAAD
LUQMAN (kiri) akui boleh berbahasa Inggeris. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim dan Syazwan


PENYERANG sensasi Bawah 19 tahun negara Luqman Hakim Shamsudin mengakui perlu menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik untuk memudahkannya berlatih dan berinteraksi bersama rakan sepasukan di Belgium.

Walaupun mengakui itu antara cabaran yang perlu diatasi, namun dia bukanlah 'zero' hingga tidak memahami langsung bahasa Inggeris hingga menyukarkannya berinteraksi nanti.

Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata, dia kini lebih bersedia mengharungi latihan dalam suasana yang berlainan seterusnya membuktikan keupayaan anak Malaysia di pentas antarabangsa.

"Nak kata tak pandai bahasa Inggeris, saya pun boleh cakap bahasa Inggeris cuma perlu belajar lebih lagi dengan menguasainya tanpa sebarang masalah.

"Sebagai pemain bola sepak, sudah tentu ada tekanan namun kita perlu bersedia berhadapan dengan perkara itu dan memberikan persembahan terbaik untuk pasukan," katanya, dalam sidang media selepas menandatangani kontrak bersama Kelab KV Kortrijk, di sini, sebentar tadi.

Luqman yang juga produk Akademi Mokhtar Dahari (AMD) menandatangani kontrak lima tahun bersama Kelab Liga Divisyen Satu Belgium dengan nilai jutaan ringgit.

Sementara itu, Luqman juga tidak mudah goyah dengan fizikal pemain kelab terbabit yang sememang berbadan besar dan tinggi.

"Pemain lain memang mempunyai kelebihan fizikal namun kita perlu berjiwa besar dan bersemangat kental menghadapi cabaran kerana fokus sekarang ini adalah mahu membuktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan," katanya.

Pada September tahun lalu, Luqman yang juga pemain dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) mengikat kontrak lima tahun bersama Kelab Liga Divisyen Satu Belgium itu.

Bagaimanapun kontrak itu hanya termeterai apabila pemain skuad Bawah 19 tahun negara itu berusia 18 tahun.

Perjanjian itu sekali gus menyaksikan Luqman akan memulakan karier sebagai pemain profesional bola sepak di luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 3:53 PM