X
REEZAL gembira dengan pencapaian Luqman dan mengucapkan tahniah kepada penyerang berusia 18 tahun itu. FOTO Bernama
REEZAL gembira dengan pencapaian Luqman dan mengucapkan tahniah kepada penyerang berusia 18 tahun itu. FOTO Bernama
Firdaus Hashim & Syazwan Msar


KEJAYAAN penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mengetuk pintu kelab Eropah membuktikan bahawa anak Malaysia turut memiliki kualiti dan bakat besar untuk dipertaruhkan di persada antarabangsa.

Malah, Luqman yang lahir daripada Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) juga membuktikan bahawa program yang bermula pada 2014 itu kini mula menuai hasilnya dengan kejayaan penyerang itu menandatangani kontrak selama lima tahun bersama KV Kortrijk.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau gembira dengan pencapaian Luqman dan mengucapkan tahniah kepada penyerang berusia 18 tahun itu.

Katanya, beliau berharap Luqman akan terus berusaha bersungguh-sungguh dan cuba merebut peluang yang terhidang di depan matanya.

"Luqman anak kelahiran Kelantan ini adalah produk perintis dan 'batch' terawal bakat NFDP di bawah 'Mykids Soccer' di Kelantan.

"Semoga Luqman mengambil peluang keemasan ini untuk berlatih bersungguh-sungguh dan menimba lebih ilmu serta ambil peluang untuk mempamerkan kemampuan yang terbaik untuk menjadi pemain bola sepak yang disegani.

"Pencapaian ini cukup membanggakan dan menjadi manifestasi kejayaan NFDP," katanya.

Luqman melakar sejarah baharu dalam arena bola sepak negara apabila muncul pemain profesional pertama dari Malaysia yang beraksi di liga utama Eropah.

Pada majlis menandatangani kontrak yang disaksikan pemilik KV Kortrijk, Tan Sri Vincent Tan di sini itu, ditawarkan kontrak selama lima musim dengan gaji RM15,000-RM25,000 sebulan.

Dia yang digelar 'The Golden Boy' ekoran tercalon dalam 80 bintang muda terbaik dunia dalam anugerah 'Golden Boy' musim ini, dijadualkan berangkat ke Belgium minggu hadapan dan akan menyertai latihan bersama pasukan utama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:28 PM