X
VINCENT (kiri) mahu Luqman menjadi mesin gol buat KV Kortrijk. FOTO AIZUDDIN SAAD
VINCENT (kiri) mahu Luqman menjadi mesin gol buat KV Kortrijk. FOTO AIZUDDIN SAAD
Firdaus Hashim dan Syazwan Msar


"Saya mahu bola masuk dalam jaring bukan belakang gol," Itu antara nasihat pemilik kelab berpengkalan di Belgium KV Kortrijk Tan Seri Vincent Tan kepada penyerang muda negara Luqman Hakim Shamsudin supaya membuktikan keupayaannya apabila sudah mendapat tempat beraksi di pentas antarabangsa.

Ibarat melakukan pertaruhan 'besar' kepada Luqman, Vincent berharap karier pemain itu boleh terus menyinar dan tidak mudah putus asa seterusnya membuktikan keupayaan kepada barisan kejurulatihan KV Kortrijk.

Beliau yang mengakui keputusan membawa masuk Luqman mendapat tentangan hebat daripada pengurusan pasukan itu berkata, pemain muda negara itu harus bersikap lebih matang dan berusaha menjaringkan gol apabila berpeluang beraksi bersama pasukan.

"Saya tidak mahu dia hanya memanaskan bangku simpanan, jika dapat bermain 10 hingga 15 minit pun tidak mengapa asalkan Luqman mampu buktikan kemampuan dengan menjaringkan gol.

"Jaringkan gol itu penting dan pada masa saya mahu semua menyokong Luqman seterusnya bersikap positif apabila melihat dia beraksi di pentas antarabangsa.

"Ada orang kata dia ini masih mentah namun saya jangka di pasti boleh beraksi dengan baik selain Luqman juga perlu kerja kuat sekurang-kurangnya untuk tempoh setahun, " katanya, pada sidang media selepas majlis menandatangani kontrak Luqman bersama KV kortrijk, di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, Vincent berkata, keputusan mengambil Luqman bukanlah hanya untuk 'menunjuk' atau melepaskan batuk di tangga namun itu antara usaha membantu pemain Malaysia ke pentas antarabangsa.

"Ini bukannya mahu menunjuk tapi serius sehingga tandatangan kontrak lima tahun Luqman bersama kelab sekali gus peluang ini jangan dilepaskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 4:38 PM