BOTTAS (kanan) gembira dapat terus bersama Mercedes sehingga hujung musim depan. FOTO AFP
BOTTAS (kanan) gembira dapat terus bersama Mercedes sehingga hujung musim depan. FOTO AFP
AFP

VALTTERI Bottas menandatangani kontrak baru dengan Mercedes, membolehkannya kekal dengan pasukan Formula Satu (F1) itu sehingga hujung musim 2021.

Pelumba kelahiran Finland itu akan beraksi hujung minggu ini di Grand Prix (GP) Sambutan ke-70 di Silverstone dengan ketinggalan 30 mata di belakang rakan sepasukan, Lewis Hamilton bagi kedudukan keseluruhan.

Musim depan bakal menyaksikan Bottas buat tahun kelima bersama Silver Arrows.

Masa depan Hamilton masih lagi belum disahkan tahun ini namun dijangkakan juara dunia enam kali itu juga akan kekal bersama Mercedes.

Bottas, yang muncul naib juara di belakang Hamilton tahun lalu, menyertai Mercedes pada 2017 dan setakat ini sudah mencatatkan lapan kejuaraan serta 12 kali meraih petak utama bersama pasukannya.

Pelumba berusia 30 tahun yang muncul juara aksi pembukaan musim ini di Austria mengakui sangat gembira dapat kekal bersama Mercedes pada tahun depan.

"Kami menikmati kejayaan yang diraih bersama-sama. Beberapa tahun sebelum ini ia adalah berkaitan dengan meneruskan peningkatan, bekerja dalam setiap aspek berkenaan prestasi saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 8:24 PM