X
KEMENANGAN Groenewegen dibatalkan kerana menyebabkan Jakobsen terjatuh dan mengalami kecederaan parah. FOTO AFP
KEMENANGAN Groenewegen dibatalkan kerana menyebabkan Jakobsen terjatuh dan mengalami kecederaan parah. FOTO AFP
AFP

PENGURUS pasukan Deceuninck-Quick Step, Patrick Lefevere mengakui beliau akan menyaman jaguh pecut Belanda, Dylan Groenewegen kerana taktik kotor yang dilakukan menyebabkan rakan senegaranya, Fabio Jakobsen terbabit dalam kemalangan mengerikan di peringkat pertama Jelajah Poland.

Sejurus selepas kejadian Lefevere mengeluarkan kenyataan tegas bahawa Groenewegen sepatutnya dipenjarakan.

Beliau masih lagi berasa marah dengan apa yang berlaku terhadap Jakobsen yang terpaksa menjalani pembedahan selama lima jam.

"Saya sahkan apa yang saya kata di Twitter. Ia satu tindakan kotor dari Groenewegen. Kami sudahpun menyerahkan bantahan kepada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan akan menyalurkan laporan kepada pihak polis Poland, kami tidak mahu perkara ini terlepas.

"Saya sudah menyaksikan aksi pecutan itu beberapa kali dan tidak faham kenapa Groenewegen mahu berbuat demikian," kata Lefevere.

Beliau juga dihubungi oleh pengurus pasukan Jumbo-Visma iaitu pasukan yang diwakili, Groenwegen.

"Saya beritahu beliau, bahawa beliau sangat berani kerana menghubungi saya dan saya tidak faham kenapa Groenewegen melakukan perkara itu," katanya.

Jakobsen, 23, tercampak ke arah penghadang jalan ketika kelajuan 80 kilometer per jam apabila dia disiku rakan senegara, Groenewegen pada aksi sengit menuju garisan penamat.

Groenewegen menghimpit ke sebelah kanan menyebabkan Jakobsen melanggar penghadang jalan, melambung sebelum merempuh pegawai perlumbaan.

Penganjur berkata, selepas melawat Jakobsen di hospital, mereka berasa lega pelumba Belanda itu berada dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:32 PM