X
CHONG King berjaya ke saingan Divisyen Satu Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
CHONG King berjaya ke saingan Divisyen Satu Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). FOTO Ihsan Persatuan Badminton Malaysia
BERNAMA

DUA pemain pelapis perseorangan lelaki negara, Lim Chong King dan Leong Jun Hao, layak ke saingan Divisyen Satu Kejohanan Badminton Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan diadakan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara minggu hadapan.

Ia selepas kedua-dua pemain itu berjaya berada di kedudukan dua teratas saingan Divisyen Dua yang diadakan di akademi tersebut hari ini apabila masing-masing mengutip lapan mata daripada empat perlawanan selepas dua hari pertandingan diadakan.

Pada aksi hari ini, Jun Hao yang pada awalnya ketinggalan dalam set pertama, bangkit menewaskan pemain percubaan Wyman Goh 20-22, 21-12 dan 21-17, sebelum mengesahkan slot ke divisyen utama dengan menundukkan seorang lagi pemain percubaan, Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar, 21-14 dan 21-18.

Terdahulu juara Remaja Asia 2017 itu mengatasi Ter Chun Long dan Low Eu Cong pada hari pertama saingan Divisyen Dua semalam.

"Permainan saya lebih baik pada hari ini berbanding semalam. Saingan Divisyen Satu lebih sengit kerana menampilkan banyak pemain berpengalaman dan saya perlu perbaiki lagi kelemahan yang ada," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Chong King turut berdepan situasi sama terpaksa bekerja keras sebelum berjaya bangkit mengatasi Chun Long menerusi keputusan 19-21, 21-16, 21-13 dan seterusnya menundukkan Wyman Goh dengan kemenangan 21-16 dan 22-20.

"Kita tahu kesemua pemain keletihan tetapi saya merasakan permainan yang lebih baik dan kelajuan rentak permainan semakin bertambah terutama di kedudukan mata penting.

"Saya lega berjaya mendapatkan momentum permainan selepas bermain empat perlawanan dan tidak merasa tekanan ketika bermain," kata Chong King.

Pada aksi pembukaan Divisyen Dua, semalam, juara Terbuka Hellas 2019 itu turut meraih dua kemenangan selepas mengatasi Muhammad Shaqeem Eiman Shahyar dan Eu Cong.

Jun Hao dan Chong Kim akan berdepan antara satu sama lain pada hari terakhir saingan Divisyen Dua esok bagi penentuan kedudukan ranking di venue yang sama.

Kejohanan Badminton Jemputan BAM dianjurkan oleh badan induk itu bagi memastikan pemain kebangsaan kekal kompetitif susulan pembatalan beberapa kejohanan antarabangsa susulan penularan pandemik Covid-19.

Ia diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penyokong, dengan menggunakan format pertandingan liga sepusingan dan dibahagikan kepada Divisyen Satu dan Dua.

Divisyen Dua bermula dari 5 hingga 7 Ogos, melibatkan enam pemain simpanan yang bersaing bagi merebut dua slot ke divisyen utama, manakala saingan Divisyen Satu bermula dari 11 hingga 16 Ogos dan dibahagikan kepada lima kategori yang disertai 52 pemain senior termasuk lapan pemain profesional negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 10:57 PM