AKHIRNYA Groenewegen minta maaf di atas apa yang berlaku terhadap Jakobsen. FOTO AFP
AKHIRNYA Groenewegen minta maaf di atas apa yang berlaku terhadap Jakobsen. FOTO AFP
AFP

PELUMBA basikal, Dylan Groenewegen meminta maaf selepas menyebabkan kemalangan dalam perlumbaan pembukaan Jelajah Poland yang menyaksikan rakan senegaranya, Fabio Jakobsen koma.

"Saya rasa apa yang berlaku semalam adalah sangat teruk. Tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan betapa saya berasa bersalah di atas apa yang berlaku terhadap Fabio dan mereka yang terjatuh," katanya dalam Twitter sehari selepas kemalangan berkenaan.

Doktor berkata, Jakobsen, iaitu pelumba Deceuninck-Quick Step team, mengalami kecederaan serius tapi stabil.

Dia terpaksa menjalani pembedahan lima jam di bahagian kepala.

"Hari ini (semalam) kami cuba kejutkan dia dari koma. Imbasan sudah dibuat dan tiada jangkitan di bahagian otak. Kecederaan di bahagian muka. Nasib baik matanya juga tidak mengalami apa-apa yang teruk," kata Timbalan Ketua Hospital Sosnowiec, Pawel Gruenpeter.

Rakaman video menunjukkan Jakobsen, 23, sedang bersaing sengit dengan rakan senegara, Dylan Groenewegen yang mewakili Jumbo-Visma ketika kedua-duanya menghimpit antara satu sama lain dan melakukan pecutan menuju ke garisan penamat di Katowice.

Bagaimanapun, Jakobsen tercampak lalu bertembung dengan jurugambar selepas Groenewegen menghimpitnya ke kanan laluan sehingga menyebabkannya melanggar pagar keselamatan.

Badan induk sukan itu, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengutuk tindakan bahaya Groenewegen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 11:30 PM