Bola Sepak Kelantan dihimpit masalah kewangan.
Bola Sepak Kelantan dihimpit masalah kewangan.
Firdaus Hashim


WAN Kamal Wan Napi enggan terburu-buru membeli pasukan Kelantan FC apabila mengakui banyak perkara perlu dikaji semula termasuk soal logistik dan impak Covid-19 kepada Liga Malaysia (Liga M).

Jelas calon pembeli itu, beliau akan memikirkan semasak-masaknya bersama beberapa pihak seperti peguam dan individu tertentu yang mahir mengenai Liga M.

Katanya, ketika ini beliau sedang mengumpul maklumat dan input sebelum memutuskan tentang pembelian pasukan The Red Warriors.

"Saya tidak terdesak untuk membeli segera kerana banyak perkara perlu diteliti seperti isu logistik. Di peringkat pengurusan mungkin tak ada masalah, tetapi masalah utama mengenai cabaran logistik.

"Saya akan bincangkan secara dalaman bersama Jawatankuasa Dalaman yang saya bentuk sendiri bersama peguam dan lain-lain untuk dapatkan gambaran sebenar," katanya kepada Arena Metro.

Menerusi laporan Arena Metro, Wan Kamal yang juga bekas pemain Piala Razak pasukan Kelantan menyatakan hasrat untuk menyelamatkan skuad Cik Siti Wan Kembang itu apabila berhasrat untuk membeli pasukan yang kini dihimpit hutang mencecah RM4.6 juta.

Bagaimanapun, beliau yang kini menetap di Carbondale, Illinois, Amerika Syarikat (AS) menyatakan keinginan itu dengan bersyarat, apabila menegaskan hutang lapuk itu perlu diselesaikan sendiri oleh Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) tanpa membabitkan pemilik baharu pasukan.

Hasrat berkenaan disambut baik Kafa yang mengesahkan segala hutang hanya akan ditanggung oleh mereka dan menetapkan RM3 juta sebagai harga jualan dan RM1 juta untuk bayaran royalti setahun.

Begitupun, bapa kepada Wan Kuzain dan Wan Kuzri itu mengakui tidak bersetuju dengan bayaran royalti berkenaan yang disifatkannya seperti masih wujud campur tangan Kafa dalam pengurusan pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Ogos 2020 @ 11:24 AM