ROSHADI akui pening kepala untuk menyenaraikan kesebelasan utama. FOTO Malik Muhamad
ROSHADI akui pening kepala untuk menyenaraikan kesebelasan utama. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


PENGENDALI Terengganu FC II (TFC II), Roshadi Wahab meluahkan nada gembira apabila pemainnya berjaya membentuk persefahaman yang positif menjelang pertemuan dengan Negeri Sembilan pada aksi Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Seremban, 26 Ogos ini.

Beliau yang dibantu bekas legenda Terengganu, Sapian Wahid berkata, kemenangan 3-0 menumpaskan skuad Liga Super, Pahang pada aksi persahabatan di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi jelas memperlihatkan corak permainan dan kombinasi anak buahnya kian mantap dan berbisa.

Bekas pertahanan Terengganu itu akui pening kepala untuk menyenaraikan kesebelasan utama selepas semua pemain yang diturunkan pada aksi persahabatan ketiga itu memperagakan aksi terbaik.

"Selepas tiga kali mengadakan aksi persahabatan, saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan semua pemain termasuk empat tonggak import yang bergandingan begitu baik dengan pemain tempatan.

"Saya juga memuji persembahan penyerang muda, Muhammad Izzan Syahmi Mustapa yang beraksi dengan baik walaupun baharu sembuh daripada kecederaan kaki lebih-lebih lagi apabila dia berjaya meledak satu gol buat pasukan.

"Terus terang saya katakan kini pening kepala untuk menyenaraikan kesebelasan utama kerana semua pemain masing-masing bersaing hebat untuk merebut tempat, namun situasi ini adalah perkembangan positif buat pasukan.

"Jika corak sebegini dikekalkan dan ditingkatkan semua pemain, saya berkeyakinan pasukan mampu menyaingi Negeri Sembilan pada aksi pertama selepas Liga Malaysia (Liga M) kembali di sambung berikutan wabak pandemik Covid-19," kata Roshadi.

Selain Muhammad Izzan, dua lagi jaringan skuad 'The Turtles' itu dihasilkan kapten kelahiran Brazil, Bruno Suzuki manakala satu gol lagi disumbangkan oleh seorang lagi pemain muda, Engku Muhamad Nur Syakir Engku Yacob.

Roshadi berkata, bagi memantapkan lagi prestasi pasukan, skuadnya bakal berdepan dengan Kelantan pada aksi persahabatan keempat pada 14 Ogos ini.

"Selain Pahang, sebelum ini kita sudah bertemu dua kali dengan pasukan Terengganu FC (TFC) yang berkesudahan menang sekali 3-2 dan tewas 0-1.

"Besar harapan kami agar pasukan terus berjaya menguasai tangga teratas Liga Perdana musim ini apatah lagi hanya trofi itu saja yang mampu digapai selepas Piala Cabaran dibatalkan musim ini," katanya.

Berdasarkan rekod, skuad TFC II kini menghuni di kedudukan teratas liga selepas mengumpul 12 mata hasil kemenangan dalam semua empat perlawanan menumpaskan Perak II (1-0), Selangor II (1-0), Kuching FA (2-1) dan terakhir Kelantan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 7:14 PM