PANDELELA menimbang untuk tidak akan menyertai pertandingan tempatan. FOTO NSTP
PANDELELA menimbang untuk tidak akan menyertai pertandingan tempatan. FOTO NSTP
Aida Adilah Mat


ATLET terjun negara, Pandelela Rinong menimbang untuk tidak akan menyertai pertandingan tempatan yang mungkin akan dianjurkan oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

Kejohanan Terjun Kebangsaan itu dijangka berlangsung pada November ini namun bagi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio dalam acara 10m seirama itu berkata, dia masih memutuskan sama ada untuk menyertainya atau tidak.

Ini kerana, bagi Pandelela ketika ini, fokus utama adalah menaikkan kembali darjah terjunan dan meningkatkan tahap kecergasan untuk kembali normal seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Mungkin ada pertandingan tempatan tapi saya tak pasti sama ada akan masuk atau tidak sebab bagi saya ia tidak penting sangat.

"Ketika ini saya hanya mahu meneruskan latihan seperti biasa dan meningkatkan tahap kecergasan serta melakukan terjunan yang sudah lama tidak dilakukan sebabnya pertandingan yang penting semua akan berlangsung tahun depan," katanya.

Baginya penerjun kelahiran Sarawak itu, apa yang penting ketika ini adalah untuk terus kekal fokus dan melakukan terjunan yang sudah lama tidak dilakukan sebelum ini dengan sempurna.

Katanya, 'feeling' terjunan itu sudah kembali normal selepas menyertai kem latihan Road To Tokyo Jun lalu. "Sekarang ini sudah tiba masanya latihan kembali seperti biasa.

"Saya akan cuba pastikan untuk terus kekal konsisten selain meningkatkan lagi darjah kesukaran terjunan selepas ini," katanya.

Pandelela mendapat tiket awal layak ke Olimpik Tokyo selepas meraih perak di Kejohanan Dunia di 2019 Gwangju, Korea Selatan tahun lalu bersama Leong Mun Yee dalam acara 10m seirama.

Dia turut layak beraksi dalam acara 10m individu. Selain Pandelela dan Mun Yee, Nur Dahbitah Sabri dan Wendy Ng turut menempah tiket ke temasya Olimpik masing-masing dalam acara 3m papan anjal individu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 8:02 PM