WAN Kamal menarik diri daripada membeli skuad TRW. FOTO Ihsan Facebook Wan Kamal Wan Napi
WAN Kamal menarik diri daripada membeli skuad TRW. FOTO Ihsan Facebook Wan Kamal Wan Napi
Firdaus Hashim


SATU tarik diri, tiga mari! Itu situasi terkini pasukan Kelantan sebaik Wan Kamal Wan Napi menarik diri untuk membeli skuad The Red Warriors (TRW) apabila tampil tiga calon baharu untuk bersaing mendapatkan pasukan itu.

Umpama pisang goreng panas, perkembangan terbaharu itu nyata melegakan pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) yang kini bergelut mencari pembeli untuk membantu meringankan beban pasukan, sekali gus melengkapkan proses penswastaan skuad Cik Siti Wan Kembang itu.

Daripada tiga calon berkenaan, salah satu daripadanya adalah usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.

Setiausaha Agung KAFA, Hussin Deraman berkata, tiga calon baharu sudah menghubungi KAFA dan menyatakan minat untuk membeli pasukan Kelantan seperti mana nilai yang ditetapkan sebelum ini.

Pada mesyuarat khas Rabu lalu, KAFA menetapkan tanda harga RM3 juta buat mana-mana pihak yang berhasrat untuk membeli Kelantan FC serta bayaran royalti RM1 juta setahun.

Selain itu, keuntungan jualan tiket perlawanan, jersi, cenderamata dan geran tahunan Liga Malaysia adalah hak pemilik pasukan.

"Betul, memang ada tiga pihak yang sudah menyatakan minat kepada kami. Selepas Wan Kamal, nampaknya ramai juga yang berminat nak membeli pasukan.

"Kita akan berunding dengan mereka dan syarat-syarat pembelian sama seperti yang kita maklumkan sebelum ini," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelasnya lagi, isu royalti yang dibangkitkan oleh Wan Kamal berkenaan campur tangan pihak KAFA dalam pengurusan pasukan tidak tepat kerana pemilik baharu mempunyai kuasa penuh kepada pasukan.

"Sebab itu kita nak cari pembeli di mana pemilik baru itu ada 100 peratus saham dalam pasukan. Bayaran royalti itu hanya untuk KAFA bergerak melakukan pembangunan bola sepak di peringkat negeri.

"Jika nilai RM1 juta setahun itu tinggi, kita sebenarnya boleh bincang lagi. Sekarang kita terbuka untuk berbincang dengan pembeli yang lain demi kebaikan pasukan dan pemilik baru," katanya.

Ujarnya lagi, beliau tetap berharap agar Wan Kamal dapat membuat pusingan 'U' dan memikirkan semula keputusannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 8:45 PM