HAFIZH akui perubahan jentera bantu dia mencatat masa keempat terpantas. FOTO Ihsan Facebook Aspar Team
HAFIZH akui perubahan jentera bantu dia mencatat masa keempat terpantas. FOTO Ihsan Facebook Aspar Team
Ferzalfie Fauzi


HAFIZH Syahrin mengakui antara punca utama mengapa dia berjaya meraih petak keempat di sesi ujian masa Grand Prix (GP) Republik Czech adalah disebabkan 'set up' yang dilakukan pasukannya sangat berbeza berbanding sesi latihan bebas semalam.

Pelumba Openbank Aspar Team hanya ketinggalan 0.453s di belakang pemenang petak utama, Joe Roberts (Tennor American Racing), mengakui mereka berjaya mempertingkatkan prestasi jentera dengan sangat cemerlang seakan memperoleh motosikal baru.

"Alhamdulillah kami berjaya meraih P4, kami sudah menunjukkan peningkatan sejak hari pertama. Kami mengadakan sesi perbincangan yang agak lama semalam dan akhirnya berjaya mengubah jentera ini jadi lain dari yang lain," katanya selepas sesi ujian masa sebentar tadi.

Dia yang akan bermula dari barisan kedua esok di Brno mengakui agak gementar di ujian masa kedua namun berjaya mempamerkan tunggangan mantap.

"Esok pada hari perlumbaan kami akan cuba yang terbaik dan kepantasan antara kami semua lebih kurang. Saya harap tidak melakukan kesilapan, fokus dan memberikan yang terbaik. Sasaran kami adalah meraih kedudukan lima terbaik tapi kalau dapat menaiki podium ia adalah bonus," katanya.

Bermula dari barisan kedua bakal memberi peluang buat bekas pelumba MotoGP itu untuk bersaing merebut kedudukan podium esok selepas tiga aksi sebelum ini dia meraih tempat ke-19 (GP Qatar), ke-10 (GP Sepanyol) dan gagal menamatkan perlumbaan di GP Andalusia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2020 @ 11:20 PM