MESSI (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
MESSI (dua kanan) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

LIONEL Messi menjaringkan gol menarik menerusi gerakan solo ketika Barcelona menewaskan Napoli hari ini namun mereka dilihat memerlukan sesuatu yang lebih istimewa daripada kapten pasukan itu dalam misi menewaskan Bayern Munich di suku akhir.

Messi menyumbang gol kedua selepas tandukan Clement Lenglet menghasilkan gol pertama sebelum Luis Suarez menyempurnakan sepakan penalti untuk membolehkan Barca pada satu ketika mendahului 3-0 di babak pertama di Camp Nou.

Bagaimanapun Lorenzo Insigne merapatkan jurang pada masa kecederaan separuh masa pertama dan keputusan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus menyaksikan Barcelona mara menerusi agregat 4-2.

"Gol kedua memberikan tekanan kepada pihak lawan. Ia adalah sesuatu yang normal untuk berasa sedikit gementar," kata jurulatih Barcelona, Quique Setien.

Messi memperoleh sepakan penalti disempurnakan Suarez selepas dikasari oleh pemain Napoli, Kalidou Koulibaly dan dilihat memerlukan rawatan selepas itu.

"Ia adalah tendangan yang kasar dan memerlukan rawatan tetapi saya tidak fikir akan menjadi masalah besar," kata Setien mengulas mengenai insiden itu.

Selepas menamatkan saingan La Liga dengan ketinggalan lima mata di belakang Real Madrid, Barca meneruskan misi di Liga Juara-Juara dengan keraguan berhubung prestasi pasukan dan masa depan Setien.

Setien pada Jumaat lalu menyatakan beliau tidak mahu meletak jawatan jika Barcelona gagal di pentas Eropah namun selepas kegagalan di saingan domestik, kedudukannya mungkin bakal terancam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 8:13 AM