PIRLO ketika beraksi bersama Juventus pada 2014. FOTO AFP
PIRLO ketika beraksi bersama Juventus pada 2014. FOTO AFP
AFP

BEKAS bintang Itali dan Juventus, Andrea Pirlo diumumkan sebagai jurulatih baharu kelab itu, beberapa jam selepas Maurizio Sarri dipecat.

Sarri, 61, yang semusim bersama Juventus, meninggalkan kelab Turin itu sehari selepas tersingkir di pusingan kedua Liga-Juara kepada Lyon.

Legenda berusia 41 tahun itu yang tidak pernah mempunyai pengalaman luas selaku jurulatih di peringkat tertinggi, menandatangani kontrak selama dua tahun sehingga 2022.

Dia sebelum ini dilantik selaku jurulatih skuad bawah 23 tahun Juventus yang beraksi di divisyen ketiga.

"Pirlo adalah seorang legenda ketika kariernya sebagai pemain. Dia memenangi kesemua kejohanan termasuklah Liga Juara-Juara dan Piala Dunia 2006.

"Sepanjang tempoh empat tahun bersama Juventus, Pirlo memenangi kejuaraan liga, Coppa Italia dan dua Piala Super Itali.

"Hari ini akan menjadi babak baharu kepada perjalanan kariernya dalam dunia bola sepak.

"Bermula hari ini, dia akan menjadi jurulatih bagi semua di Juventus selepas kelab bersetuju melantiknya membimbing pasukan utama selepas memilihnya melatih skuad bawah 23 tahun Juventus," kata Juventus menerusi satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 9:24 AM