AKSI Johnson (kanan) pada pusingan ketiga. FOTO AFP
AKSI Johnson (kanan) pada pusingan ketiga. FOTO AFP
AFP

DUSTIN Johnson membenam lapan birdie untuk mencatat lima bawah par 65 sekali gus mendahului saingan dengan satu pukulan selepas berakhir pusingan ketiga PGA Championship.

Johnson meraih empat birdie pada sembilan lubang pertama dan kemudian menambah tiga lagi birdie pada lima lubang terakhir untuk catatan keseluruhan sembilan bawah par 201 pada saingan yang berlangsung di TPC Harding Park di San Francisco.

"Saya melakukan pukulan putt dengan baik. Inilah kunci kejayaan hari ini. Kawasan green juga sangat baik, jadi saya dapat melakukan pukulan yang berkualiti," katanya.

Scottie Scheffler dan Cameron Champ dari Amerika Syarikat berkongsi kedudukan kedua dengan catatan lapan bawah par 202.

Juara bertahan dua kali, Brooks Koepka pula mencatat satu bawah par 69.

Koepka yang berusaha untuk muncul pemain pertama memenangi kejohanan utama tiga kali berturut-turut sejak era 1950an, pada mulanya dilihat tenang namun bogey yang dilakukan bermula di lubang ke-13 menjadikan rentak permainannya bergelut pada sembilan lubang terakhir.

Tiga bogey berturut-turut yang dilakukannya menyaksikan kedudukan Koepka merosot namun dia berjaya meraih birdie di lubang ke-16 dan 18.

Dia mencatat keseluruhan tujuh bawah par 203, ketinggalan dua pukulan di belakang Johnson.

Pendahulu memasuki pusingan ketiga, Li Haotong dari China pula melakukan par 73 dan tidak seperti Koepka, dia lebih bergelut apabila melakukan double bogey di lubang ke-13.

Dia terpaksa berpuas hati berpuas hati dengan catatan keseluruhan lima bawah par 205.

Li sedang berusaha untuk menjadi pemain China pertama memenangi kejohanan utama.

Kejohanan PGA championship dilangsungkan tanpa kehadiran penonton kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 11:25 AM