AGBA (kiri) meledak dua gol ketika membantu Melaka mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM dalam aksi persahabatan semalam. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Melaka United
AGBA (kiri) meledak dua gol ketika membantu Melaka mencatat kemenangan 3-0 ke atas PDRM dalam aksi persahabatan semalam. FOTO Ihsan Facebook Persatuan Bolasepak Melaka United
Nazri Abu Bakar

KEMENANGAN 3-0 Melaka ke atas PDRM dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi memberi suntikan moral kepada skuad berkenaan menjelang aksi pembukaan Liga Super 26 Ogos ini.

Pengurus Melaka, Muhammad Akram Abdullah berkata, selepas sekian lama tidak beraksi perlawanan berkenaan jelas menguji kecergasan dan persefahaman pemain.

Katanya, saingan juga memberi peluang kepada semua pemain bagi membuktikan keupayaan mereka menterjemah corak permainan yang diterapkan jurulatih.

Baginya, mereka menunjukkan sepenuh komitmen dan fokus untuk mengembalikan semula kemantapan jentera pasukan bermula di barisan pertahanan, tengah dan serangan.

"Bagaimanapun, terdapat juga beberapa kelemahan kecil yang berlaku. Berikutan itu, ia menjadi pentas terbaik buat mereka untuk memperbaiki kekurangan yang masih ada.

"Malah ia memberi ruang buat barisan kejurulatihan merencana dan memperkasa persembahan yang lebih efektif terutama sepanjang sesi latihan selepas ini," katanya.

Justeru , Melaka akan mengatur satu lagi aksi persahabatan bagi memastikan setiap kombinasi dan corak perlawanan berbeza akan diuji bagi membina rentak dan keserasian di antara pemain.

Sehubungan itu, dia turut mengharapkan menjelang perlawanan sebenar menentang Perak pada 26 Ogos ini, pasukan Hang Tuah mampu mengekalkan prestasi dan momentum untuk mendaki kedudukan yang lebih baik di tangga liga.

Dalam perlawanan malam tadi tiga gol Melaka dijaringkan menerusi Uche Agba m-26 dan 51, manakala Romel Morales pula meledak jaringan pada m-48.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 5:20 PM