PROSES pembaikan stadium yang sudah menjangkau usia 20 tahun itu tidak boleh dilakukan secara ala kadar. FOTO OWEE AH CHUN.
PROSES pembaikan stadium yang sudah menjangkau usia 20 tahun itu tidak boleh dilakukan secara ala kadar. FOTO OWEE AH CHUN.
Syazwan Msar


VENUE 'keramat' bagi skuad Selangor iaitu Stadium Shah Alam kemungkinan tidak dapat digunakan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi memberi laluan kepada proses pembaikan pada masa akan datang.

Malah, stadium yang kapasiti 80,000 juga berkemungkinan akan dirobohkan jika keadaan terpaksa memandangkan venue berkenaan sering mengalami kerosakan hingga terpaksa skuad gergasi merah kuning mengubah lokasi perlawanan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon berkata, proses pembaikan stadium berkenaan tidak akan selesai dalam tempoh terdekat ini sekali gus memerlukan pasukan Selangor mencari alternatif lain bagi menggantikan venue berkenaan.

Beliau berkata, proses pembaikan stadium yang sudah menjangkau usia 20 tahun itu tidak boleh dilakukan secara ala kadar kerana perlu dibaiki secara menyeluruh bagi mengelak perkara sama berulang.

"Stadium Shah Alam mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk dibaiki kerana usianya yang sudah lama sudah tentu mempunyai banyak masalah.

"Boleh itu, kami mengambil keputusan untuk memberi masa kepada pengurusan stadium melakukan kerja pembaikan kerana mungkin akan menelan belanja jutaan ringgit.

"Terpulang pada mereka untuk melakukan apa yang terbaik sama ada meruntuhkan stadium terbabit atau mencantikkannya lagi," katanya, di sini.

Sebelum ini, kerosakan bumbung di Stadium Shah Alam menyebabkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi tempoh kepada pengurusan stadium untuk membaikinya demi keselamatan penyokong Merah Kuning.

Namun kekangan kos yang tinggi menyebabkan kerja-kerja itu tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang ditetapkan oleh MFL.

Berikutan itu, skuad bimbingan B Sathianathan terpaksa menggunakan Stadium UiTM sebaik liga bersambung hujung bulan ini bagi mengharungi baki perlawanan Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 7:19 PM